Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian sedia maklum bahawa kejadian air pasang besar dan ombak yang kuat pada Januari hingga Februari 2016 telah menyebabkan kerosakan harta benda dan mengancam keselamatan nyawa dan harta benda penduduk setempat perlu ditangani dengan segera. Oleh yang demikian, kerja-kerja darurat perlu dilaksanakan bagi menangani masalah tersebut. Kerja darurat perlu segera disiapkan dalam keadaan ombak bergelora, maka penggunaan batu-batu besar yang boleh bertahan dengan ombak dan senang diperolehi menjadi faktor pemilihan.
Pemilihan struktur lapis lindung batu ini merupakan kaedah paling berkesan dan kos efektif bagi menangani keadaan tersebut selain bekalan bahan binaan yang boleh didapati dengan segera, tenaga kerja dan keupayaan pembinaan struktur di tapak pada ketika itu. Kerja-kerja pembinaan lapis lindung batu tersebut hanya bersifat sementara dan kajian terperinci perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah di kawasan tersebut secara menyeluruh. Pada masa hadapan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang untuk membina struktur pemecah ombak (breakwater) dan penambakan pasir (beach nourishment) bagi menyelesaikan masalah berbangkit.
Sekian, terima kasih.