Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

MaCGDI

Nombor Soalan

27

Soalan

Dato' Ir. Nawawi Bin Ahmad [Langkawi] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan perkongsian dan penyebaran maklumat geospatial daripada pelbagai agensi sedang dilaksanakan bagi mengelakkan pertindihan dan pembaziran dalam usaha pengutipan dan penyenggaraan maklumat geospatial. Sejauh manakah perkongsian maklumat geospatial membantu Kementerian dalam usaha perbelanjaan secara berhemah dan sekali gus dapat menjimatkan wang negara.

Jawapan

​Tuan Yang di- Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MaCGDI) telah membangunkan satu infrastruktur bagi perkongsian maklumat geospatial yang diberi nama Malaysia Geospatial Data Infrastructure (MyGDI) (dengan izin) sejak akhir tahun 2002. Antara objektif program MyGDI adalah mengurangkan pertindihan dalam inisiatif berkaitan pengutipan data geospatial, menyelaras perkongsian data serta menggalakkan penggunaan data geospatial terutama dalam menyokong pembangunan negara yang mampan dan lestari.
Melalui program MyGDI, platform perkongsian dan penyebaran maklumat geospatial telah disediakan di antara agensi-agensi kerajaan agar dapat menjimatkan perbelanjaan negara dengan menggunakan konsep collect once, used by many (dengan izin). Sebagaimana Yang Ahli Berhormat sedia maklum, kos pembangunan dan penyelenggaraan data geospatial melibatkan kos yang tinggi dari aspek keperluan tenaga kerja yang mahir, tempoh masa yang panjang dari segi pengutipan, pemprosesan dan pengemaskinian data bagi memastikan data tersebut sentiasa terkini serta berkualiti. Agensi-agensi Kerajaan perlu menyedari bahawa maklumat geospatial yang sedia ada menunjukkan segala pelaburan yang telah dilakukan dalam pembangunan data geospatial amat berguna serta memberikan faedah kepada semua.
Maklumat yang boleh dicapai merupakan maklumat geospatial yang bernilai untuk dikongsi bersama oleh agensi. Maklumat tersebut dikumpul, diproses, disimpan dan disebar dalam pelbagai format mengikut keperluan masing-masing. Penggunaan maklumat geospatial secara optimum boleh dicapai melalui integrasi data daripada pelbagai jenis dan sumber yang berlainan. Sumber data tersebut seharusnya mudah dikenal pasti untuk membolehkan pengguna mendapatkan data yang relevan dengan keperluan mereka.
Perkongsian dan penyebaran maklumat geospatial adalah gabungan strategik yang membawa faedah sinergi kepada semua agensi yang terlibat. Ini membolehkan integrasi data dilakukan untuk manfaat semua dan bukan terhad kepada kepentingan sesuatu agensi sahaja. Selain itu, ianya juga dapat membantu membuat perancangan, pelaksanaan dan analisis yang tepat sekaligus memudahkan pihak pengurusan atasan dalam membuat keputusan dengan cepat dan tepat.
Dalam usaha perbelanjaan secara berhemah dan sekali gus dapat menjimatkan wang Negara, melalui pelaksanaan Program MyGDI Anggaran Jumlah Penjimatan dapat diperoleh dari dua (2) aspek:
a. Anggaran Penjimatan melalui Platform Perkongsian atau Aplikasi yang telah dibangunkan oleh MaCGDI; dan
b. Anggaran Penjimatan Kos Hasil Perkongsian Data Geospatial
a. Anggaran Penjimatan melalui Platform Perkongsian atau Aplikasi
Beberapa Platform Perkongsian atau Aplikasi yang telah dibangunkan oleh MaCGDI adalah MyGOS, 1MalaysiaMap, MyGDI Explorer dan MyGeotranslator. Anggaran penjimatan yang diperoleh bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan RMKe-11 (sehingga Julai 2017) adalah RM112. 57 juta. Setiap jabatan dapat menjimatkan penggunaan wang kerajaan kerana telah menggunakan platform dan infrastruktur perkongsian dan penyebaran yang disediakan melalui Program MyGDI. Oleh yang demikian, setiap jabatan dan agensi tidak memerlukan untuk membuat perolehan perkakasan dan perisian, lesen software, pembangunan aplikasi.
b. Anggaran Penjimatan Kos Hasil Perkongsian Data Geospatial
Anggaran Penjimatan Kos Hasil Perkongsian Data melalui perkongsian kos yang tidak dituntut oleh agensi pembekal data geospatial dan sekali gus dapat menjimatkan wang Negara berjumlah RM 42.02 juta bagi RMKe-10 dan RMKe-11 (sehingga Julai 2017) dalam usaha perbelanjaan secara berhemah.

Sekian, terima kasih.


Attachments