Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

50

Soalan

Datuk Haji Shabudin Bin Yahaya [Tasek Gelugor] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah pelan tindakan Kerajaan dalam menangani masalah penarikan diri Amerika Syarikat daripada menyertai Perjanjian Iklim Paris 2015 serta apakah kesan kepada ekologi negara khususnya isu pemanasan global dan peningkatan paras air laut sekiranya perjanjian ini gagal.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim mengecewakan ramai pihak. Sebagai salah satu kuasa besar dalam ekonomi dan keselamatan global, tindakan Amerika Syarikat menarik diri dari Perjanjian Paris merupakan keputusan yang bercanggah dengan persetujuan yang telah dicapai sebelum ini. Susulan daripada perkara tersebut, Kesatuan Eropah, China, India dan negara-negara lain mengambil pendirian untuk terus kekal di dalam Perjanjian Paris.

Malaysia juga akan meneruskan komitmen yang dipersetujui di dalam Perjanjian Paris dan akan bersama-sama dengan 151 buah negara lain yang telah meratifikasi Perjanjian Paris untuk bekerjasama menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim.
Tuan Yang di-Pertua,

Perjanjian Paris bertujuan untuk mengehadkan peningkatan suhu purata global di bawah 2 darjah Celcius dan meningkatkan usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu purata global di bawah 1.5 darjah Celcius.
Berdasarkan Laporan Penilaian Ke-6 Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC AR-6) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2014 menjelaskan kesan negatif yang akan dihadapi dunia jika kita
tidak mengambil langkah mengawal kesan perubahan iklim. Kesan negatif tersebut adalah seperti kenaikan aras laut (sea-level rise) yang akan mengakibatkan bencana alam seperti banjir dan taufan. Rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia juga dijangkakan akan mengalami kesan tersebut sepertimana yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Sekian, terima kasih.


Attachments