Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

53

Soalan

Ir. Shaharuddin Bin Ismail [ Kangar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah langkah jangka panjang oleh pihak Kementerian untuk membendung berlakunya pencemaran Sungai di Perlis dan apakah bentuk usaha dan kaedah yang dibuat supaya masalah pencemaran dapat diselesaikan dengan segera.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dan akan terus berusaha bersungguh-sungguh bagi mengawal pencemaran sungai khususnya bagi punca-punca seperti pelepasan industri, loji-loji kumbahan, serta projek pembangunan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (AKAS 1974). Selain itu, perhatian harus juga diberikan kepada punca-punca yang boleh menyumbang kepada pencemaran sungai seperti pelepasan daripada pusat penyediaan makanan, aktiviti perladangan, aktiviti penternakan dan juga projek pembangunan yang dikawal oleh pelbagai agensi.
Antara usaha berterusan yang diambil oleh JAS bagi mencegah dan mengawal pencemaran yang boleh menjejaskan kualiti air sungai adalah:
(a) Melaksanakan penguatkuasaan terhadap aktiviti industri secara pematuhan kendiri (self regulation) oleh industri;
(b) Menjalankan penguatkuasaan secara menyeluruh (termasuk pemeriksaan / siasatan ke premis - ‘command and control’) terhadap pengoperasian premis-premis dan juga projek pembangunan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974);
(c) Melaksanakan pemantauan secara desktop enforcement melalui sistem pemantauan jarak jauh menerusi sistem
telemetri, Sistem Pemantauan Pelepasan Bulanan (Monthly Discharge Monitoring System) yang diwajibkan ke atas industri yang menghasilkan efluen supaya semua punca-punca tersebut mematuhi AKAS 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya;
(d) Melaksanakan pemeriksaan susulan bagi menentusahkan pelaporan yang dikemukakan adalah berintegriti dan tepat dengan situasi yang berlaku di lapangan. Tindakan penguatkuasaan seperti amaran bertulis di lapangan (field citation), Notis Arahan, tawaran kompaun, penyitaan peralatan, perintah larangan operasi atau tindakan mahkamah akan dikenakan ke atas mana-mana punca yang didapati tidak patuh;
(e) Menyemak dan membuat pindaan-pindaan kepada peruntukan AKAS 1974 dan peraturan yang berkaitan sebagai penambahbaikan selaras dengan perkembangan semasa teknologi kawalan pencemaran dan kaedah pengurusan alam sekitar yang dinamik dan kompleks;
(f) Menerbitkan pelbagai dokumen dan garispanduan serta menjalankan aktiviti kesedaran alam sekitar bagi meningkatkan kefahaman pihak-pihak yang berkenaan ke arah pematuhan kepada kehendak perundangan alam sekitar yang berkuatkuasa; dan
(g) Mempertingkat dan memperkemaskan program-program pemantauan kualiti air yang dilaksanakan oleh Jabatan bagi memenuhi keperluan bagi membuat keputusan.
Selain itu juga, pihak Kementerian turut memperkukuhkan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama mana-mana agensi yang berkaitan dalam menangani sesuatu isu pencemaran dengan lebih berkesan.

Sekian, terima kasih.

Attachments