Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

99

Soalan

Y.B. Dr. Hajah Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan senaraikan sungai-sungai yang telah tercemar beserta tahap kualiti air dan kos operasi pemuliharaannya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pengawasan kualiti air sungai di seluruh negara bagi mengesan sebarang perubahan ketara kepada status kualiti air sungai dari masa ke masa.
Berdasarkan pengawasan yang dilaksanakan oleh JAS ke atas 477 batang sungai pada tahun 2016, didapati sejumlah 22 batang sungai telah dikategorikan sebagai ‘tercemar’ iaitu berada pada tahap Kelas IV dengan pecahan seperti berikut:
(i) 17 batang sungai di negeri Johor iaitu Sungai Danga, Sungai Semenchu, Sungai Buluh, Sungai Masai, Sungai Perembi, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Ayer Merah, Sungai Segget, Sungai Melana, Sungai Bala, Sungai Pandan, Sungai Plentong, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang, Sungai Tampoi dan Sungai Tebrau;
(ii) 3 batang sungai di negeri Pulau Pinang iaitu Sungai Jawi, Sungai Jelutong dan Sungai Pertama;
(iii) Sungai Alor B di negeri Kelantan; dan
(iv) Sungai Kuyoh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pelepasan bahan buangan yang bersifat organik mudah terurai daripada pelbagai punca seperti air sisa industri, komersil dan domestik serta air sisa kumbahan manusia dan haiwan yang tidak diolah ke dalam sungai secara berterusan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air di sungai-sungai tersebut.
Kualiti air sungai pada tahap Kelas IV dikategorikan sebagai ‘tercemar’ dan tidak sesuai untuk kegunaan berfaedah manusia kecuali untuk tujuan pengairan bagi aktiviti pertanian.
Untuk makluman Ahli yang Berhormat, tiada sungai yang dikategorikan berada pada tahap Kelas V atau “sangat tercemar” pada tahun 2016.

Sekian, terima kasih.

Attachments