Tuan Yang di-Pertua,
Bagi menyelesaikan masalah banjr di Parlimen Bayan Baru, Kerajaan Persekutuan telah merancang untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Balik Pulau dengan anggaran kos sebanyak RM153 juta. Projek ini akan melibatkan Lembangan Teluk Kumbar, Sungai Tiram dan Sungai Nipah di Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. Skop projek meliputi kerja-kerja menaiktaraf sistem Pintu Kawalan Pasang Surut (TCG) di Muara Sungai Teluk Kumbar dan Sungai Tiram, serta kerja-kerja menaiktaraf Sungai Bayan Lepas dan Sungai Nipah
Pelaksanaan projek ini dijangkakan akan memberi manfaat kepada hampir 5,000 keluarga yang terlibat dengan perpindahan setiap kali berlaku banjir. Ianya juga berupaya mengurangkan 4 kejadian banjir dalam tempoh 12 bulan dan turut mengurangkan masalah banjir kilat yang kerap berlaku.
Selain itu, Rancangan Tebatan Banjir Teluk Kumbar bernilai RM10 juta yang telah dipohon di dalam RP3 RMKe-11 adalah merupakan sebahagian langkah mitigasi banjir dalam Rancangan Tebatan Banjir Balik Pulau. Skop projek tersebut termasuklah menaiktaraf Sungai Teluk Kumbar dan menaiktaraf pintu 'Flap Gate' dan Rumah Pam Sungai Teluk Kumbar.
Pelaksanaan projek ini akan dapat mengurangkan kejadian banjir di sekitar Sungai Teluk Kumbar, terutamanya di Kg. Matahari Jatuh, Kg. Batas Besar, Kg. Masjid dan Kg. Gemuruh di Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. Selain
itu, ia juga dapat memberi manfaat kepada 1,000 keluarga yang terlibat dengan perpindahan setiap kali berlaku banjir dan mengurangkan luas kawasan yang terjejas akibat banjir iaitu 4km persegi kepada 1km persegi.
Sekian, terima kasih.