Tuan Yang di-Pertua,
Kajian Sistem Saliran Perbandaran Kulim sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang telah bermula pada tahun 2016 dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2017. Setelah kajian ini siap kelak, pihak Kerajaan Negeri akan mencadangkan kaedah-kaedah mitigasi banjir seperti menaiktaraf beberapa tempat termasuk sistem Sungai Tebuan dan Sungai Wang Pinang serta beberapa kawasan bottle neck yang menyempitkan aliran sungai di bahagian sempadan Seberang Perai, Pulau Pinang terutamanya di hulu Sungai Machang Bubuk bagi penyelesaian masalah banjir kilat di Kulim ini.
Namun begitu, bagi langkah segera untuk tahun 2017 dan 2018, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencadangkan kerja-kerja menaiktaraf dua pembetung jalan yang merentangi Sungai Wang Pinang berjumlah kos RM1juta dilaksanakan.
Selain itu, pada tahun 2016 dan 2017, pihak JPS Daerah Kulim telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Sungai Wang Pinang, Sungai Tebuan dan Sungai Air Merah Selatan ke hulu Sungai Machang Bubuk secara berkala.
Sekian, terima kasih.