Tuan Yang di-Pertua,
Berdasarkan aduan pencemaran udara yang diterima, Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak telah menjalankan siasatan ke atas premis tersebut dan hasil siasatan mendapati aduan adalah berasas dan aspek-aspek ketidakpatuhan yang berlaku adalah seperti berikut:
(a) Ketinggian stockpile pasir silika yang digunakan sebagai bahan mentah melebihi paras bumbung premis dan terlalu banyak longgokan stockpile di sekeliling premis. Ini kerana tiada kawalan terhadap jumlah muatan pasir yang masuk ke premis. Walaupun terdapat peralatan kawalan habuk seperti water sprinkler/water browser, tetapi ianya tidak bersesuaian dengan keadaaan stockpile yang terlalu banyak ini;
(b) Jalan keluar masuk premis tidak berturap dan dipenuhi pasir yang berpotensi menyebabkan laluan keluar masuk berdebu; dan
(c) Tiada penyemburan air/washing bay/wash trough disediakan di jalan keluar/masuk premis dan berpotensi menyebabkan pelepasan habuk ke jalan utama;
Bagi tujuan pematuhan dan langkah drastik terhadap aduan ini, JAS telah mengarahkan premis mematuhi segera Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi tujuan kawalan pencemaran habuk sedia ada.
JAS Perak akan terus memberi perhatian dan memantau pematuhan premis terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya agar masalah pencemaran di kawasan yang terlibat dapat diatasi.
Sekian, terima kasih.