Tuan Yang di-Pertua,
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bertanggungjawab terhadap pengurusan harta pusaka kecil (merangkumi harta tak alih dalam pemilikan atau kepentingan simati sama ada sebahagian atau keseluruhannya dengan nilaian RM2,000,000.00 ke bawah) selaras dengan punca kuasanya mengikut Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Ke-Sembilan Senarai I, Para 4(e)(1).
Pada asasnya JKPTG tidak mempunyai data tanah harta pusaka atau data harta alih yang masih belum dituntut pewaris selagi pihak waris tidak memulakan tindakan membuat tuntutan pembahagian pusaka kecil.
Walaubagaimanapun, dalam usaha berterusan memberikan kesedaran mengenai pengurusan harta pusaka, pihak jabatan sentiasa membuat promosi secara berterusan melalui program outreach atau ‘turun padang’ bagi mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat dalam memberikan maklumat yang tepat mengenai prosedur pembahagian harta pusaka dengan lebih jelas untuk menggalakkan waris membuat tuntutan harta pusaka dengan segera sebaik berlaku kematian kepada pemilik harta.
Pada tahun 2016, sebanyak 109 program telah dilaksanakan termasuk ceramah kepada penduduk kampung, komuniti felda, taklimat kepada
agensi kerajaan dan swasta serta program promosi melalui radio dan televisyen di seluruh Semenanjung Malaysia.
Sekian, terima kasih.