Tuan Yang di-Pertua,
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bertanggungjawab terhadap pengurusan harta pusaka kecil (merangkumi harta tak alih dalam pemilikan atau kepentingan si mati sama ada sebahagian atau keseluruhannya dengan nilaian RM 2,000,000.00 ke bawah) selaras dengan punca kuasanya mengikut Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Ke-Sembilan Senarai I, Para 4(e)(1).
Pada asasnya JKPTG tidak mempunyai data tanah harta pusaka yang masih belum dibuat tuntutan pewaris selagi waris tidak memulakan tindakan membuat tuntutan pembahagian pusaka memandangkan tanah pemilikan individu adalah di bawah pentadbiran tanah negeri. Walaubagaimanapun, pihak jabatan amat komited dalam menggalakkan pihak pewaris agar bersegera dalam mengemukakan permohonan tuntutan harta pusaka bagi menggelakkan isu kematian berlapis dan pecahan bahagian hartanah yang tidak ekonomik jika dibiarkan tidak diselesaikan. Jumlah tuntutan harta pusaka kecil yang telah diuruskan oleh pihak jabatan bagi tahun 2016 adalah sebanyak 59,771 kes.
Sekian, terima kasih.