Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) memainkan peranan penting dalam usaha ke arah pemeliharaan, pemuliharaan dan kesedaran alam sekitar melalui pendekatan program komunikasi dan kesedaran alam sekitar.
Secara umumnya, terdapat peningkatan tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap pengurusan alam sekitar Negara berdasarakan kepada indikator seperti:
(a) Peningkatan kualiti air sungai yang ditentukan secara Indeks Kualiti Air (IKA). Misalnya, pada tahun 2015, peratus sungai yang dikategorikan sebagai bersih telah meningkat kepada 58% berbanding 52% pada tahun 2014. Peratus sungai yang dikategorikan sebagai tercemar juga turut menurun daripada 9% kepada 7% pada tahun 2015;
(b) Pengurangan bilangan kes-kes pembakaran terbuka. Pada tahun 2015 (3,459 kes), sebanyak 20% pengurangan bilangan kes yang dilaporkan berbanding pada tahun 2014 (4,354 kes);
(c) Pengurangan bilangan aduan pencemaran alam sekitar. Jumlah aduan yang telah diambil tindakan di bawah peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya
3
pada tahun 2015 adalah sebanyak 4,872 berbanding 5729 pada tahun 2014. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 15%;
(d) Peningkatan penglibatan masyarakat dalam program-program kesedaran alam sekitar. Penglibatan masyarakat ke atas sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada 22 Oktober 2016 adalah sangat menggalakkan dengan kehadiran 30,000 orang terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di setiap negeri secara serentak. Ini menunjukkan masyarakat lebih proaktif dan terlibat secara terus ke arah usaha berterusan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar Negara;
(e) Peningkatan bilangan masyarakat awam yang berdaftar sebagai Rakan Alam Sekitar (RAS). Sehingga 18 Julai 2017, bilangan RAS adalah 285,116 orang;
(f) Peningkatan bilangan pelawat yang menggunakan aplikasi dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar seperti Enviro Museum dan Enviro Knowledge Management Centre;
(g) Peningkatan bilangan Rakan Strategik Jabatan Alam Sekitar yang terdiri daripada pihak industri, syarikat swasta, perunding dan lain-lain agensi yang memberi kerjasama serta komitmen dalam penganjuran program Jabatan; dan
4
(h) Sambutan masyarakat sangat menggalakkan dalam program-program seperti program kitar semula, kempen tanpa plastik dan polisterin, kempen hari tanpa kereta dan lain-lain.
Bagi merealisasikan sejauh mana tahap kesedaran alam sekitar, maka di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), satu kajian menilai tahap keberkesanan dan kesedaran masyakat terhadap kempen dan pemeliharaan alam sekitar menerusi pembangunan indeks kesedaran alam sekitar sedang dilaksanakan oleh JAS.
Lain-lain usaha untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, maka Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai polisi, program dan aktiviti bagi mengukuhkan ‘public trust’ melalui pendekatan:
i) Mentransformasikan Program Minggu Alam Sekitar Malaysia kepada Hari Alam Sekitar Negara;
ii) Memperluaskan penglibatan masyarakat dalam program Rakan Alam Sekitar (RAS) melalui penyertaan komuniti dalam aktiviti tempatan;
iii) Menjalinkan kerjasama strategik antara Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan pihak berkepentingan dari badan bukan kerajaan (NGO), swasta, industri, komuniti setempat dan institusi pendidikan bagi mengukuhkan dan memantapkan penyebaran maklumat mengenai kesedaran alam sekitar ke akar umbi;
5
iv) Mempertingkatkan pelaksanaan Strategi Lautan Biru (NBOS) dalam menangani isu–isu pencemaran alam sekitar dengan mengintegrasikan kerjasama strategik secara kolaboratif antara agensi kerajaan Persekutuan, Negeri dan NGO serta universiti;
v) Menambahbaik dan memantapkan undang-undang sediada dengan memperluaskan skop dan bidang kuasa supaya penghayatan komuniti dalam pengurusan alam sekitar Negara lebih aktif;
vi) Meningkatkan penglibatan Kerajaan di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama strategik dalam berbagai Multilateral Environmental Agreement (MEA) peringkat ASEAN dan bilateral.
Sekian, terima kasih