Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

14 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

17

Soalan

Dato' Hajah Fahariyah Binti Hj Md Nordin minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bilangan kes-kes pencemaran sisa buangan industri yang mencemar sumber air di setiap negeri dan apakah tindakan paling efektif Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan sumber air mentah tidak dicemari dengan pelepasan sisa buangan ini yang menyebabkan masalah penutupan loji rawatan air.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian memandang serius tentang isu pengurusan sisa buangan industri khususnya buangan terjadual dan berbahaya yang berpotensi mencemarkan sumber air dan tanah serta membahayakan kesihatan manusia dan alam sekitar.
Bagi tempoh 2014 – 2016, terdapat 7 kes pencemaran sumber air yang berpunca daripada sisa buangan industri iaitu:
a. empat (4) di Negeri Selangor;
b. dua (2) di Negeri Johor; dan
c. satu (1) di Negeri Sabah.
Tiada kes pencemaran sumber air berpunca daripada pembuangan sisa industri pada tahun 2017 setakat ini. Antara tindakan efektif yang telah dan sedang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar ke arah mencegah dan mengawal pencemaran kualiti air sungai adalah:
a. Memberi kuasa atau empowerment kepada industri supaya melaksanakan aktiviti kawalan kendiri atau self-regulation melalui:
i. pemantauan prestasi alat kawalan pencemaran;
ii. perekodan dan pelaporan pemantauan pelepasan pencemaran secara online; dan
iii. mewajibkan orang yang berwibawa (competent person) atau orang berkelayakan memantau pengurusan alam sekitar terutama pengoperasian alat kawalan pencemaran di premis masing-masing.
b. Pemantauan secara desktop enforcement melalui sistem pemantauan jarak jauh menerusi sistem telemetri dan Online Environmental Reporting (OER) yang diwajibkan kepada pihak industri.
c. Menjalankan tindakan penguatkuasaan seperti amaran bertulis di lapangan (field citation), Notis Arahan, tawaran kompaun, penyitaan peralatan, perintah larangan operasi atau tindakan mahkamah ke atas mana-mana punca yang didapati tidak patuh.
d. Menyemak semula peruntukan lapuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan yang berkaitan sebagai penambahbaikan selaras dengan perkembangan teknologi kawalan pencemaran terkini dan kaedah pengurusan alam sekitar yang dinamik dan kompleks.
e. Memperkasakan program pengawasan kualiti air sungai secara Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership – PPP) melalui syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan. Melalui program ini, 30 buah stesen pengawasan kualiti air
sungai automatik telah ditempatkan di hulu takat pengambilan air bagi Loji Rawatan Air (LRA) yang bertujuan memberi amaran awal (early warning system) dan memperolehi bacaan secara real-time dalam pengesanan pencemaran Loji Rawatan Air.
f. Penubuhan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) sejak tahun 2015 di setiap Kawasan Parlimen yang bertujuan sebagai mata dan telinga kepada Jabatan Alam Sekitar dalam memantau dan melaporkan kes-kes pencemaran supaya tindakan pencegahan dapat diambil dengan segera, cepat dan berkesan.
Selain itu, mana-mana orang yang melakukan kesalahan mencemarkan air sungai boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 25 (3), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan hukuman denda tidak lebih daripada RM100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari 5 tahun atau kedua-duanya sekali disamping denda tambahan tidak lebih daripada RM1,000.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

Sekian, terima kasih.

Attachments