Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

14 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

33

Soalan

Tuan Wilfred Yong Chen Leong minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sasaran Kerajaan dalam mengurangkan pencemaran karbon dan mewujudkan persekitaran bandar dan luar bandar yang lebih selesa dan kondusif.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Antara hasil utama Persidangan Ke-21 UNFCCC adalah Paris Agreement yang telah dipersetujui pada 12 Disember 2015. Malaysia telah menandatangani Paris Agreement pada 22 April 2016 dan meratifikasikan perjanjian ini pada 16 November 2016.
Antara tindakan susulan Paris Agreement yang perlu dilaksanakan adalah menyediakan dan mengemukakan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gases – GHG) yang dikenali sebagai Nationally Determined Contributions (NDC) setiap 5 tahun sekali. NDC merupakan sumbangan negara kepada usaha global untuk menangani impak perubahan iklim bagi tempoh pasca-2020 di bawah Paris Agreement. Malaysia telah mengemukakan ‘Intended NDC’ (INDC) kepada UNFCCC pada 27 November 2015.
Menurut INDC tersebut, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebanyak 45% berbanding intensiti pelepasan pada tahun 2005menjelang tahun 2030. Daripada keseluruhan sasaran pengurangan ini, 35% akan dilaksanakan tanpa syarat (unconditional) manakala baki 10% lagi adalah bersyarat (conditional) dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.
Tuan Yang di-Pertua,
Bagi mencapai sasaran NDC negara, Kerajaan sedang membangunkan ‘Roadmap for effective implementation of NDC and adoption to the Paris Agreement’. Roadmap ini dibangunkan untuk mengenalpasti strategi, kaedah, dan keperluan pelaksanaan tindakan mitigasi dan adaptasi oleh pelbagai sektor berkaitan bagi mencapai sasaran INDC negara. Dalam masa yang sama, bagi mencapai sasaran NDC Negara Kerajaan Malaysia melalui Kementerian dan Agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk mengurangkan pelepasan GHG di bawah sektor-sektor utama GHG negara seperti sektor tenaga, pengangkutan, sisa pepejal, proses industri dan pertanian seperti berikut:
1. Menggalakkan penjanaan tenaga elektrik boleh diperbaharui melalui mekanisme Feed-in Tariff (FIT);
2. Melesenkan penjanaan tenaga elektrik boleh diperbaharui di luar mekanisme FIT;
3. Menggalakkan pembangunan loji biogas di bawah National Key Economic Area (NKEA) di bawah Economic Transformation Programme (ETP);
4. Menggalakkan aktiviti kitaran semula bagi mengelakkan penjanaan dan pelepasan gas metana akibat daripada pembuangan sisa organik di dalam tapak pelupusan;
5. Mempertingkatkan kawasan hutan simpan yang mampu menyerap gas rumah kaca;
6. Membangunkan sistem pengangkutan awam darat berunsurkan rel;
7. Menggalakkan penggunaan gas asli sebagai bahan api kenderaan pengangkutan awam;
8. Membangunkan program bio-diesel B5;
9. Mewujudkan dan menggalakkan penggunaan sistem pengiktirafan kecekapan bangunan;
10. Menggalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicles – EEVs);
11. Menetapkan sasaran pengurangan penggunaan tenaga 5% oleh bangunan-bangunan kerajaan, dan
12. Menggalakkan penggunaan teknologi hijau menerusi program (Green Technology Financing Scheme – GTFS)
Inisiatif-inisiatif ini menyumbang secara langsung kepada sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG di dalam NDC Negara dan secara tidak langsung menyumbang kepada persekitaran dan kehidupan yang kondusif.

Sekian, terima kasih.


Attachments