Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

17 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

43

Soalan

SOALAN: Dato' Haji Abdul Rahman Bin Mat Yasin minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan jumlah keluasan pembalakan hutan secara haram dan jumlah keluasan hutan yang telah diteroka untuk aktiviti pertanian secara haram di seluruh negara sehingga kini. Berapakah jumlah kerugian di pihak Kerajaan serta nyatakan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil bagi mengekang kedua-dua aktiviti ini.

Jawapan

​​Yang di-Pertua,

Sehingga Jun 2017 seluas 18,533 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal telah diteroka untuk tujuan pertanian di seluruh Semenanjung Malaysia. Daripada keluasan tersebut seluas 502.61 hektar adalah merupakan kawasan yang terlibat dengan aktiviti pembalakan haram.Bagi tempoh 2006 hingga 2016, sebanyak 256 kes pembalakan haram telah direkodkan di Semenanjung Malaysia dengan tangkapan seramai 229 orang yang melibatkan kerugian hasil hutan bernilai RM 15.2 juta.

Di antara tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh pihak Kementerian adalah sepertimana berikut:

i. Melaksanakan aktiviti penguatkuasaan hutan secara berkala dan bersepadu melalui program National Blue Ocean Strategy (NBOS) seperti 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON), Centralised Enforcement Team (CET) dan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JET) yang dilengkapi dengan penggunaan kemudahan logistik seperti motosikal lasak, penggunaan senjata api dan lain-lain kemudahan keselamatan;

ii. Pemantauan kawasan litupan hutan melalui penggunaan aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5) bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan yang disokong dengan penggunaan dron, sensor hyperspectral, Geographical Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS);

iii. Tumpuan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan terutama kawasan-kawasan berisiko tinggi (hotspot) dan kawasan-kawasan penerokaan haram yang dikenalpasti;
iv. Menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui Pasukan Sukarelawan Ranjer Hutan APM yang baru ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri; dan

v. Menjalankan program restorasi kawasan-kawasan hutan yang diceroboh dalam usaha memulihara kawasan tersebut.
Di samping itu, pihak Kementerian melalui Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, IPJPSM telah meningkatkan usaha-usaha untuk memastikan kes-kes kesalahan hutan yang berlaku dibuat pertuduhan ke Mahkamah untuk mendapatkan hukuman yang setimpal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). Sehingga Mei 2017 sebanyak 147 kes telah berjaya di selesaikan.

Sekian, terima kasih.


Attachments