Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

17 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

79

Soalan

Tuan Chandra Mohan A/L S. Thambirajah minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bilangan kes pencemaran 'leachate' dari tapak pelupusan (landfills) pada tahun 2016 dan 2017 dengan pecahan mengikut negeri-negeri dan inisiatif yang diambil untuk memastikan keselamatan air mentah termasuk meningkatkan hukuman terhadap mereka yang mencemarkan sungai

Jawapan

​​​Tuan Yang di-Pertua,

1. Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 25 kes pencemaran air larut resap dari tapak pelupusan sanitari berlaku dari tahun 2016 sehingga 2017. Kesemua kes tersebut berlaku di negeri Johor.

2. Peraturan–Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) telah diperkenalkan sejak tahun 2009 bagi tujuan mencegah pencemaran berlaku dari pengurusan tapak pelupusan sampah yang mana berpotensi menjejaskan keselematan dan kualiti air mentah.

3. Selain itu, Jabatan Alam Sekitar telah mewajibkan Kaedah Kawalan Kendiri atau Self-Regulation kepada pengendali atau kontraktor tapak pelupusan supaya lebih bertanggungjwab menguruskan tapak pelupusan dengan lebih selamat. Melalui kaedah ini, Jabatan Alam Sekitar telah melaksanakan pemantauan secara desktop enforcement dengan menggunakan sistem pemantauan jarak jauh menerusi sistem telemetri dan Sistem Online Environmental Reporting sebagai kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh semua pengendali tapak pelupusan sampah.

4. Jawatankuasa Teknikal Kawalan Pencemaran Alam Sekitar dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal telah diwujudkan sejak tahun 2015 dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAS yang bertujuan memantau isu pencemaran dari tapak pelupusan sampah. Selain JAS, jawatankuasa ini dianggotai oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) serta operator pengendali. Jawatankuasa ini bertindak untuk menyelaraskan dan menyelesaikan isu-isu berhubung dengan pencemaran khususnya berpunca tapak pelupusan sampah.

Tuan Yang Dipertua

5. Pada masa ini pihak Kerajaan belum berhasrat untuk meningkatkan hukuman terhadap pesalah yang didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009.

6. Berdasarkan peraturan semasa, mana-mana orang yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000.00 sehari bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

7. Selain hukuman di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009, pesalah juga boleh
dikenakan hukuman di bawah peruntukan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 iaitu denda tidak lebih daripada RM 500,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan RM 1,000.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

8. Kementerian mengambil kesempatan ini untuk menyarankan supaya tindakan menangani isu pencemaran sumber air ditangani secara bersepadu dan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi-agensi berwajib seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Badan Kawal Selia Air Negeri, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ini kerana agensi-agensi berwajib ini juga mempunyai peruntukan perundangan masing-masing untuk mencegah pencemaran air terutama air sungai.

Sekian, terima kasih. 

Attachments