Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

13

Soalan

​YBTM JAWAB

Datin Rahimah Binti Haji Mahamad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan mengenai polisi dan halatuju Malaysia dalam CDM (Clean Development Mechanism) dan 'carbon trade' seiring dengan ketetapan dan prosedur yang ditetapkan oleh United Nation Framework on Climate Change Control dan kedudukan terkini isu 'carbon trade' Kerajaan negeri Kelantan yang menjalankan usahasama dengan sebuah firma swasta.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Komitmen Negara ke atas kawalan perlepasan karbon adalah melalui program Mekanisme Pembangunan Bersih (Clean Development Mechanism – CDM) di bawah Protokol Kyoto. CDM diwujudkan di bawah Protokol Kyoto dengan tujuan untuk membantu negara-negara membangun mencapai pembangunan lestari dan menyumbang kepada objektif Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) serta membantu negara maju untuk mematuhi komitmen mereka di bawah Artikel 3 Protokol tersebut. Pelaksanaan CDM bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi menjadi sumber kepada pertumbuhan ekonomi dan juga pembangunan sosial. Program CDM memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi yang mengurangkan pelepasan GHG serta turut membantu menangani pencemaran lain seperti pencemaran air dan udara.

Mekanisme CDM juga membolehkan pemaju projek berkaitan alam sekitar mendapatkan pemindahan teknologi, pelaburan dan juga hasil daripada penjualan Certified Emmision Reductions (CERs). Malaysia mempunyai 143 projek CDM yang berdaftar dengan CDM Executive Board. Jumlah ini adalah 1.9% daripada projek-projek CDM yang didaftarkan di seluruh dunia dan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.7 juta. Sehingga Disember 2016, Malaysia telah menjana lebih 10 juta tan kredit hasil daripada pelaksanaan CDM. Mengambil kira harga purata USD10 untuk setiap tan, pelaksanaan CDM telah menghasilkan pendapatan sebanyak USD100 juta kepada pemaju-pemaju projek CDM di Malaysia. Pelaksanaan program
CDM di Malaysia adalah selari dengan ketetapan dan piawaian urusniaga kredit karbon antarabangsa di bawah UNFCCC.

Tuan Yang di-Pertua,
Bagi isu perjanjian urusniaga karbon di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan sebuah entiti swasta, Kementerian kekal berpandangan untuk tidak menyokong perjanjian urusniaga kredit karbon tersebut kerana:

i. Pelaksanaan mekanisme Reducing Emissions from Deforestation and Degradation and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries (REDD+) adalah berasaskan mekanisme bukan pasaran (non-market mechanism) di mana tiada kredit karbon sektor hutan yang akan didagangkan; dan

ii. Dana antarabangsa bagi REDD+ yang sedang dirundingkan oleh negara adalah tertakluk kepada verifikasi data dan maklumat perhutanan berdasarkan kepada piawai pelaporan antarabangsa di bawah UNFCCC. Susulan daripada itu, Kementerian telah melaksanakan perkara-perkara berikut:

i. Mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menjelaskan pendirian Kerajaan mengenai pelaksanaan mekanisme REDD+;

ii. Mengemukakan secara bertulis maklumat mengenai mekanisme REDD+ kepada kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkepentingan yang lain; dan

iii. Bersedia untuk memberikan penjelasan dasar dan teknikal kepada mana-mana Kerajaan Negeri atau pihak berkepentingan yang ingin mengetahui mengenai mekanisme REDD+. Dalam hal ini, Kementerian telah memberikan taklimat mekanisme REDD+ kepada Kerajaan Negeri Sembilan.

Sekian, terima kasih.

Attachments