Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Air

Nombor Soalan

38

Soalan

Datuk Haji Abdullah Bin Mat Yasim minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah pihak Kementerian sedar atau tidak sistem pengaliran air di kawasan Rantau Panjang berada dalam keadaan tidak sempurna, di samping limpahan air dari Sungai Golok yang menyebabkan kawasan Rantau Panjang akan dilanda banjir pada setiap tahun.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sedar akan masalah yang dihadapi di kawasan Rantau Panjang dan Sungai Golok. Pembangunan dan pemajuan tanah yang pesat di bahagian hulu sungai telah menjejaskan sistem aliran air permukaan dan secara langsung menambah kapasiti air sungai yang menyebabkan Sungai Golok tidak dapat lagi menampung peningkatan kuantiti air ini dan melimpahi tebing.

Menyedari hakikat ini, bagi langkah jangka panjang, Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang merangka untuk menyediakan Pelan Integrated River Basin Managament (IRBM) Sg Golok. Pelan ini akan di bawa dalam perbincangan bersama dengan pihak Kerajaan Thailand kelak setelah 'Memorandum of Understanding (MOU) For The Joint Decarmation And Survey Of The Fixed And Permanent International Boundary Between Malaysia And Thailand Along Sg. Golok (Golok River)' siap diperincikan dan dipersetujui oleh kedua-dua negara.

IRBM merupakan proses penyelarasan dalam pemuliharaan, pengurusan dan pembangunan sumber air, tanah serta sumber-sumber lain, merentasi semua sektor di dalam sesebuah lembangan sungai dan juga negeri-negeri di dalamnya.

Kementerian juga menyedari situasi hujan dan banjir di kawasan Rantau Panjang yang mana Angin Monsun Timur Laut membawa hujan lebat dan menyebabkan kejadian banjir berlaku dengan meluasnya dari bulan November hingga Januari.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMKe-11), Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB)  Sungai  Golok Fasa 1 yang merangkumi komponen  Rancangan Tebatan Banjir (RTB)  dan  Pantai.

Walau bagaimanapun, penyelesaian menyeluruh (total solution) perlu dilaksanakan yang melibatkan keseluruhan Lembangan Sungai Golok bagi mengatasi banjir di kawasan lembangan ini meliputi dari Tumpat hingga Jeli termasuk kawasan Rantau Panjang. Penyelesaian menyeluruh ini dicadang untuk dilaksanakan dalam Fasa 2 dan Fasa 3. Tempoh masa pelaksanaan projek ini akan melangkaui RMKe-12 dan RMKe-13.

Sekian, terima kasih.

 


Attachments