Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 August 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Tanah, JUPEM

Nombor Soalan

2

Soalan

YBM JAWAB

Puan Hajah Khairiah Binti Mohamed minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan usaha-usaha terkini yang diambil oleh Kementerian dalam mengawal hidupan liar yang semakin pupus ekoran penerokaan tanah yang berleluasa untuk pembangunan.

Jawapan

​Tuan Yang di- Pertua,

Kerajaan amat komited dalam melindungi hidupan liar agar tidak pupus melalui langkah-langkah berikut:

1. Mewujudkan kawasan perlindungan seperti Taman Negara Pahang, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Pulau Pinang dan rezab-rezab hidupan liar bagi keliaran hidupan liar di habitat semulajadi. Kesemua kawasan perlindungan dapat menyediakan kawasan yang selamat bagi hidupan liar untuk mencari makanan, tempat bersembunyi dan membiak untuk meneruskan kesinambungan generasi hidupan liar tersebut.

2. Mewujudkan rangkaian koridor ekologi bagi untuk membentuk satu rangkaian hutan perlindungan yang bersambung melalui pembentukan koridor ekologi bagi kepentingan pemeliharaan kepelbagaian biologi, hidupan liar dan alam sekitar melalui pelaksanaan Projek Central Forest Spine (CFS). Empat (4) kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia yang membentuk koridor ekologi adalah:

a) Banjaran Titiwangsa – Banjaran Bintang – Banjaran Nakawan,
b) Taman Negara – Banjaran Timur,
c) Pahang Tenggara, Chini dan kawasan berpaya Bera, dan
d) Taman Negara Endau Rompin-Rezab Hidupan Liar Kluang.


3. Jabatan PERHILITAN sedang dalam proses meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bagi mengenakan hukuman denda yang lebih berat dan juga mencadangkan bagi dikenakan hukuman sebatan untuk kesalahan menceroboh kawasan rizab-rizab dan kezaliman terhadap hidupan liar. Pindaan yang sedang dirangka juga akan memasukkan kawalan terhadap aktiviti pengiklanan atau promosi hidupan liar di dalam talian.

4. Selain itu, program penguatkuasaan seperti 1MBEON dan Ops Khazanah juga dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan semua hidupan yang terancam dilindungi daripada dieksploitasi secara tidak terkawal dan mencegah daripada penyeludupan. Program penguatkuasaan ini turut mengaplikasikan penguatkuasaan secara bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia, International police (INTERPOL), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kastam DiRaja Malaysia, Unit Pencegahan dan Penyeludupan (UPP) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy - NBOS).

5. Melaksanakan Pelan Tindakan Konservasi Spesies-Spesies Hidupan Liar Terancam seperti Pelan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) (2013 – 2022) dan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) (2008-2020) bagi menangani ancaman yang dihadapi oleh gajah dan harimau akibat fragmentasi hutan, kehilangan habitat, pemburuan haram dan pembunuhan hidupan liar oleh orang awam akibat konflik. Sasaran utama Pelan ini adalah untuk mewujudkan keseimbangan antara konservasi hidupan liar tersebut dan aktiviti pembangunan semasa di Semenanjung Malaysia.

6. Kerajaan juga menjalankan program konservasi hidupan liar secara ex-situ iaitu melalui pembiakan di dalam kurungan untuk menyediakan stok hidupan liar bagi program pelepasan semula ke habitat semulajadi. Sehingga kini, terdapat 11 pusat pembiakan hidupan liar yang diuruskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Antara spesies yang berjaya dibiak dan dilepaskan ke habitat semulajadi adalah seladang, tapir, rusa, kijang dan burung kuang.

Tuan Yang Dipertua,

7. Bagi pengurusan populasi hidupan liar yang diancam kepupusan ekoran kehilangan habitat, Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama kerajaan negeri sedang dan akan membangunkan beberapa kawasan untuk dijadikan santuari yang mana antaranya ialah:
 Pembangunan Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (NTCC) di Lanchang, Pahang merangkumi keluasan 80 ha bagi tujuan meliarkan semula harimau sebelum pelepasan di hutan-hutan terpilih.
 Pembangunan Pusat Pentadbiran Santuari Gajah Johor (JES) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor. JES berkeluasan 72.9ha dan 466ha kawasan padang ragut gajah sedang dalam pembinaan koridor CFS 2 Primary Linkage 3 yang menghubungkan Hutan Simpan Panti dan Hutan Simpan Ulu Sedeli Selatan sebagai satu program konservasi gajah di Negeri Johor.
 Mencadangkan penubuhan Amanjaya Elephant Sanctuary (AJES) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak di Hutan Simpan Amanjaya dan Taman Negeri DiRaja Belum, Perak yang berkonsepkan konservasi gajah serta kemudahan ekopelancongan

8. Bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan orang ramai terhadap konservasi biodiversiti, pelbagai program Communication, Education dan Public Awareness (CEPA) juga dilaksanakan secara berterusan seperti Program Pendidikan Biodiversiti, pameran, ceramah dan program bersama masyarakat setempat. Sebanyak 130 program CEPA telah dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN pada tahun 2016. Kumpulan sasaran bagi program ini adalah para pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan orang awam

Sekian, terima kasih.

Attachments