Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

23 October 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Air

Nombor Soalan

24

Soalan

Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan [ Keningau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak Kerajaan ke arah memperbaiki keadaan perubahan cuaca memandangkan bahawa Malaysia sering dilanda banjir setiap tahun. 

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi menghadapi keadaan perubahan cuaca yang sering menyebabkan banjir, Kementerian telah melaksanakan langkah struktur seperti tebatan banjir dan langkah bukan struktur. Bagi langkah bukan struktur, Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Program Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRAB) di bawah RMKe-11. Melalui pelaksanaan PRAB, stesen-stesen pemantauan aras air dan hujan bertelemetri telah dibangunkan untuk mencerap mencerap kuantiti hujan dan aras air semasa dan akan disalurkan ke pusat data di Pusat Data Sektor Awam dan akan dikemaskini setiap 15 minit dan membolehkan hebahan amaran banjir dilaksanakan.

Bagi masalah banjir di kawasan bandar, JPS telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) untuk beberapa buah bandar di negara ini. PISMA adalah satu kajian bagi menyediakan satu pelan induk saliran bagi sesebuah bandar untuk menyelesaikan masalah banjir menggunakan konsep dari Manual Saliran Mesra Alam (MSMA). PISMA akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan langkah struktur dan bukan struktur untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di bandar tersebut. Sehingga ini pihak Kerajaan Persekutuan telah menyiapkan PISMA untuk 17 buah bandar dan dalam RKM 11 sebanyak 16 PISMA lagi akan dihasilkan.

Selain itu, NRE melalui Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) juga telah melaksanakan laporan kajian permodelan skala halus dan impak perubahan iklim ke atas regim hidrologi dan sumber air bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sehingga kini.

Secara dasarnya, hasil kajian mengunjurkan perubahan iklim akan mengakibatkan perubahan pola dan pertambahan jumlah, intensiti dan taburan hujan pada masa hadapan, yang seterusnya akan meningkatkan kawasan yang berisiko untuk ditenggelami oleh banjir. NAHRIM telah melaksanakan analisis pemodelan kesan perubahan iklim dan menerbitkan peta unjuran banjir masa hadapan bagi lima belas (15) lembangan sungai di Semenanjung Malaysia. Peta unjuran banjir ini boleh dijadikan panduan bagi perancangan pembangunan dan rancangan tebatan banjir bagi menghadapi impak perubahan iklim.

NAHRIM juga telah menerbitkan sebuah garis panduan teknikal iaitu NAHRIM Technical Guide No. 1 – Estimation of Future Design Rainstorm Under Climate Change Scenario in Peninsular Malaysia, dalam usaha untuk mengarusperdanakan adaptasi perubahan iklim di dalam perancangan pembangunan yang lestari. Gris panduan ini juga digunakan oleh JPS Malaysia dalam semua projek tebatan banjir mulai tahun 2014. Pihak NAHRIM sedang menambahbaik garis panduan ini dengan melaksanakan semula analisis dengan menggunakan data perubahan iklim terkini yang dihasilkan melalui projek Kajian Lanjutan Kesan Perubahan Iklim ke atas Sumber Air Malaysia (2014).  Garis panduan akan dikembangkan kepada dua bidang lagi iaitu banjir rekabentuk (design flood) serta aliran air rendah dan kemarau (low flow and drought) dan dijangka siap pada awal tahun 2018.

Penilaian kerentanan dan adaptasi (vulnerability and adaptation) kepada perubahan iklim juga telah dilaksanakan melalui projek pelaporan Third National Communication (TNC) dan Biennial Update Report (BUR) ke United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) terhadap beberapa sektor yang berkaitan iaitu sumber air dan pantai, infrastruktur, kesihatan awam, tenaga dan pertanian, perhutanan dan biodiversiti. Kajian penilaian ini memberikan maklumat penting dari aspek risko dan skala impak perubahan iklim terhadap jaminan sumber, kawasan dan infrastruktur yang akan terjejas, serta cadangan langkah adaptasi yang boleh dilaksanakan bagi menghadapi dan menanganinya.

 

Sekian, terima kasih.

Attachments