Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mula melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit pada 17 September 2013 dan dijadualkan siap pada 19 Julai 2018 dengan mengambilkira lanjutan masa (extension of time - EOT) yang ketiga. Status kemajuan kerja terkini sehingga 19 Oktober 2017 adalah 74% berbanding dengan 74% mengikut jadual.
Kelewatan pembinaan projek ini adalah disebabkan oleh beberapa isu yang timbul iaitu ,
- Isu pengambilan balik tanah,
- Isu Kelulusan reka bentuk jambatan daripada Jabatan berkaitan,
- Isu Kesesuaian tanah untuk membina ban banjir, dan
- Isu gangguan sistem pengairan sedia ada di tapak.
Kejadian banjir teruk yang berlaku pada bulan September 2017 adalah disebabkan oleh taburan hujan yang luar biasa melebihi kapasiti sistem saliran sedia ada.
Sehubungan dengan itu, JPS sedang merancang Pelan Khas untuk memastikan projek ini dapat disiapkan dengan secepat mungkin supaya kesengsaraan masyarakat setempat semasa fasa pembinaan ini dapat diatasi dengan segera dan dengan perlaksanaan keseluruhan projek RTB Sungai Kedah/ Anak Bukit ini akan membawa outcome seperti yang telah dirancang.
Sekian, terima kasih.