Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

24 October 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

12

Soalan

Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan jumlah kes kemalangan yang melibatkan spesies hidupan liar terancam di Lebuh Raya Gerik-Jeli dari tahun 2007 sehingga terkini. Adakah Kerajaan menggunakan teknologi terkini seperti 'GPS Collar' dan 'Conservation Aerial Drone' dalam usaha memantau pergerakan hidupan liar di sepanjang lebuh raya ini.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil berat ke atas kemalangan yang membabitkan kenderaan dan hidupan liar di lebuh raya atau jalan raya. Dari tahun 2007 sehingga Ogos 2017, sebanyak 71 kes kemalangan yang melibatkan pelbagai spesies hidupan liar terancam telah direkodkan di Lebuh Raya Gerik-Jeli. Antara spesies tertinggi yang dilanggar di Lebuh Raya Gerik-Jeli adalah biawak (20), babi hutan (11), kera (10), binturong (6), gajah (4) dan satu kes melibatkan tapir (1).

Bagi mengatasi kes kemalangan yang melibatkan spesies hidupan liar ini, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan telahpun menggunakan teknologi terkini seperti 'GPS Collar' dalam usaha memantau pergerakan hidupan liar di sepanjang lebuh raya ini. Sejak tahun 2012 sebanyak 19 ekor gajah telah dipasangkan kolar satelit. Namun begitu, Penggunaan 'Conservation Aerial Drone' untuk memantau pergerakan hidupan liar di sepanjang lebuh raya adalah tidak sesuai kerana keadaan hutan tropika di Malaysia yang tebal. Hasil pemantauan terhadap individu yang dipasangkan kolar mendapati, kawasan keliaran bagi gajah-gajah ini adalah disekitar 2 km di kiri kanan lebuh raya. Faktor utama yang menjadi tarikan gajah berada di tepi lebuh raya adalah sumber makanan daripada tumbuhan dan rumput yang terdapat di tepi lebuh raya. Kemungkinan untuk gajah bergerak menyeberangi lebuh raya adalah tinggi terutamanya pada waktu malam. Rekod Jabatan PERHILITAN juga menunjukkan bahawa hampir 90% kes kemalangan yang melibatkan hidupan liar berlaku pada waktu malam.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ingin menyeru kepada pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu terutama di kawasan habitat hidupan liar seperti di Lebuh Raya Grik-Jeli. Para pemandu diingatkan supaya memberikan perhatian kepada papan tanda “Kawasan Lintasan Hidupan Liar”, terutamanya pada waktu senja, subuh, malam dan keadaan penglihatan yang rendah seperti kabus, mendung atau hujan. Ini akan dapat membantu mengurangkan insiden ‘road kill’ hidupan liar.

Sekian, terima kasih.

Attachments