Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

25 October 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

3

Soalan

​​JBM JAWAB

Dato' Noraini binti Ahmad [ Parit Sulong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan proses sesuatu organisma diubah suai yang hidup (Living Modified Organism, LMO) dilaksanakan bagi menjamin keselamatan kesihatan manusia, kesihatan haiwan dan tumbuhan serta biodiversiti negara

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Kemajuan dalam teknologi kejuruteraan genetik telah menyebabkan bidang biokeselamatan mendapat perhatian masyarakat dunia. Bidang teknologi kejuruteraan genetik atau dikenali sebagai bioteknologi moden membolehkan gen dari satu organisma dipindahkan ke organisma yang lain. Dalam memastikan risiko yang mungkin terhasil daripada aplikasi bioteknologi moden ini pada paras yang boleh diterima, analisis biokeselamatan ke atas produk-produk yang memasuki pasaran negara adalah penting dilaksanakan.
Satu tatacara memproses permohonan aplikasi organisma diubah suai yang hidup (Living Modified Organism - LMO) telah diwujudkan di bawah Akta Biokeselamatan 2007, di mana LMO yang diluluskan sahaja dibenar untuk dilepaskan ke persekitaran dalam Negara.

Proses penilaian risiko dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik (dengan izin, Genetically Modified Advisory Committee - GMAC) yang terdiri daripada pakar-pakar pelbagai bidang yang dilantik oleh Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan. Hanya LMO yang mempunyai risiko yang rendah dan didapati selamat, khususnya dari aspek impaknya terhadap kesihatan manusia, haiwan dan tumbuhan serta ekosistem dan biodiversiti akan diperaku untuk diluluskan oleh Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan.
Tiga aspek utama penilaian risiko sesuatu LMO yang dilaksanakan oleh GMAC adalah:

(i) Menilai kesan LMO terhadap kesihatan manusia di mana penilaian risiko dilaksanakan ke atas 7 perkara berikut iaitu tahap ketoksikan, alahan, kemungkinan pemindahan gen resistant terhadap antibiotik dalam salur pencernaan, kandungan nutrisi LMO/produk LMO, potensi patogenik dan organisma penderma gen;

(ii) Menilai kesan LMO terhadap kesihatan haiwan di mana penilaian risiko dilaksanakan untuk 5 perkara iaitu tahap ketoksikan, alahan, anti-nutrition, survivability dan pencemaran produk haiwan; dan

(iii) Menilai kesan LMO terhadap alam sekitar di mana penilaian risiko dilaksanakan untuk 8 perkara antaranya seperti pelepasan tanpa sengaja (pertumpahan biji benih semasa pengangkutan), pertumbuhan pokok transgenik tanpa sengaja (daripada biji benih yang tertumpah), pertumbuhan pokok transgenik tanpa sengaja kemungkinan menjadi invasive, pendebungaan kacuk andai tumbuh pokok transgenik, penanaman pokok transgenik oleh petani kecil yang tidak ia adalah LMO, kemungkinan pemindahan transgen (gen yang dimasukkan) LMO ke flora bakteria usus haiwan yang memakannya, kemungkinan transgen dipindahkan ke bakteria tanah dan kesan toksik pada organisma bukan sasaran

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, GMAC melaksanakan penilaian risiko LMO berpandukan kepada dokumen berikut:
 CODEX Guideline for the Conduct of Food Safety Assessment of Foods Derived from Recombinant-DNA Plants;
 Roadmap for Risk Assessment of Living Modified Organisms, (according to Annex III of the Cartagena Protocol on Biosafety produced by the Ad Hoc Technical Expert Group (AHTEG) on Risk Assessment and Risk Management of the Convention on Biological Diversity);
 The risk assessment and risk management plan submitted by the applicant; and
 Recommendations within the AHTEG guidelines.
Semasa penilaian risiko dilaksanakan, GMAC juga akan mengenalpasti isu-isu yang mungkin timbul bagi penggunaan LMO dalam jangkamasa yang panjang serta mengenalpasti pertimbangan pengawalseliaan yang lain. Hasil daripada penilaian risiko sesuatu LMO tersebut, GMAC akan menyediakan cadangan terma dan syarat untuk pertimbangan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan semasa membuat keputusan.

Sekian, terima kasih
Attachments