Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

15 November 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

22

Soalan

Dr. Azman Bin Ismail [Kuala Kedah] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan langkah-langkah Kementerian di dalam memelihara hutan di Malaysia. Adakah benar dakwaan Badan Bukan Kerajaan di Eropah bahawa negara mengalami penyahutanan (deforestation) yang membimbangkan

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sentiasa komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro pada tahun 1992. Pendirian Kerajaan Malaysia ini diperkukuhkan lagi semasa 21st Conference of Parties (COP) to the United Nations Forum on Climate Change (UNFCCC) dan COP 22 yang telah diadakan di Paris, France pada 7-11 Disember 2015 dan COP 22 yang telah diadakan di Marrakech, Morocco pada 7-18 November 2016.

Keluasan hutan yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Cadangan Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia pada tahun 2016 adalah seluas 4,924,153 hektar. Kawasan ini tidak termasuk kawasan hutan yang diwartakan sebagai Rezab Hidupan Liar dan Taman Negara serta kawasan berhutan dalam Tanah Kerajaan yang lain. Antara langkah-langkah yang diambil dalam menjayakan komitmen ini adalah seperti berikut:

i. Mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan kawasan terlindung sepenuhnya;

ii. Mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan melalui aktiviti penanaman pokok-pokok spesies hutan dikawasan hutan terosot;

iii. Menyediakan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri setiap 10 tahun bagi tujuan pentadbiran, pengurusan dan pembangunan HSK secara berkekalan;

iv. Melaksana dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan Agensi Kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan;

v. Mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan termasuk kaedah pengusahasilan yang berimpak rendah;

vi. Meningkatkan kesedaran awam melalui kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) / Sekolah / Institusi Pendidikan Tinggi dan Agensi-Agensi Kerajaan yang berkaitan mengenai kepentingan hutan dan pemeliharaan alam sekitar;

vii. Menyedia, melaksana dan memantau Catuan Tebangan Tahunan (CTT) setiap tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun bagi kawasan hutan pengeluaran dalam HSK; dan

viii. Menjana pendapatan melalui potensi baru selain daripada kayu balak termasuk inisiatif REDD+ dan bayaran bagi perkhidmatan ekosistem (Payment for Ecosystem Services - PES) bagi mengurangkan kebergantungan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan langkah yang diambil tersebut kedudukan penyahhutanan (deforestation) adalah masih terkawal. Rekod menunjukkan dalam tempoh lima (5) tahun, keluasan HSK di Semenanjung Malaysia masih mengekalkan keluasan sebanyak 4.9 juta hektar. Sehubungan dengan itu dakwaan Badan Bukan Kerajaan di Eropah bahawa negara mengalami penyahhutanan (deforestation) yang membimbangkan adalah tidak benar.
Bagi usaha pemeliharaan hutan negara di peringkat antarabangsa, Malaysia sedang aktif merundingkan pelaksanaan dan membangunkan dasar bagi program Reducing Emissions from Deforestation and Degradation and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries (REDD+) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Malaysia juga sedang berusaha untuk mendapatkan pembiayaan Results Based Payments (RBP) program REDD+ melalui dana Green Climate Fund (GCF). Dana RBP ini akan digunakan untuk pelaksanaan program REDD+. Bagi tujuan ini, Malaysia telah melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat antarabangsa dan nasional serta ‘engagement’ dengan pihak berpentingan (stakeholders) seperti Kerajaan Negeri dan badan bukan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme REDD+ berjalan lancar.]

Sekian, terima kasih.

Attachments