Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

20 November 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

37

Soalan

Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan [Keningau] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah pendirian Malaysia sekarang selepas Amerika Syarikat berundur daripada ‘Paris Climate Accord’ dan adakah ini bererti kita akan turut menarik diri daripada perjanjian tersebut.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Penarikan Amerika Syarikat daripada Paris Agreement sepertimana yang diumumkan oleh Presiden negara tersebut, Donald Trump secara umumnya mengecewakan ramai pihak terutamanya negara-negara membangun termasuk Malaysia. Negara-negara kuasa besar seperti Kesatuan Eropah, Republik Rakyat China dan India turut menzahirkan kekecewaan mereka mengenai perkara ini. Sebagai salah satu kuasa besar di dalam ekonomi dan keselamatan global, tindakan Amerika Syarikat menarik diri dari Paris Agreement tidak menzahirkan kredibiliti, kesungguhan, dan kepimpinan negara tersebut di dalam menangani isu alam sekitar global seperti perubahan iklim.
Susulan daripada perkara tersebut, Kesatuan Eropah dan negara-negara maju yang lain mengambil pendirian untuk terus kekal di dalam Paris Agreement tanpa Amerika Syarikat. Walaupun tanpa Amerika Syarikat, Paris Agreement akan terus berkuatkuasa pada 2020 kerana syarat 55 buah negara yang bertanggungjawab kepada 55% pelepasan gas rumah kaca (GHG) global masih dipenuhi. Sehingga kini, 168 negara telah meratifikasikan Paris Agreement.

Malaysia merupakan Negara Parti kepada Paris Agreement setelah menandatanganinya pada 22 April 2016 dan meratifikasikannya pada 16 November 2016. Selaku salah sebuah Negara yang aktif merundingkan isu perubahan iklim di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB
(UNFCCC), Malaysia berpendirian untuk kekal bersama negara-negara lain di dalam Paris Agreement. Malaysia berpandangan Paris Agreement pada masa ini sedang melalui fasa penting iaitu rundingan bagi kaedah pelaksanaannya. Sehubungan itu, Malaysia akan terus kekal sebagai salah satu negara yang aktif merundingkan kaedah pelaksanaan Paris Agreement agar dapat dilaksanakan dengan lancar di Negara kita pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.


Attachments