Tuan Yang di-Pertua,
Cadangan pembangunan projek ECRL ini akan melibatkan sejumlah anggaran 357 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang melibatkan tiga (3) buah negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Selangor.
Hasil survei yang dijalankan di hutan simpan sepanjang cadangan laluan ECRL mendapati terdapat hidupan liar seperti harimau belang, gajah, beruang matahari, tapir, seladang, kijang, dan babi hutan mendiami kawasan hutan tersebut. Antara kesan pembinaan projek ECRL ke atas hidupan liar di kawasan yang terlibat adalah kehilangan habitat, fragmentasi habitat, konflik manusia-hidupan liar, pemburuan haram, pergerakan hidupan liar terhalang dan pelanggaran hidupan liar. Langkah-langkah pencegahan yang dicadangkan adalah seperti berikut:
i. Pelaksanaan projek perlu mengambil kira kawasan sensitif hidupan liar dan memastikan tiga (3) penghubung Central Forest Spine (CFS) yang terlibat tidak terjejas dengan mengambil kira jajaran dan reka bentuk yang bersesuaian serta langkah-langkah kawalan supaya tidak timbul impak dan konflik yang ketara terdapat habitat hidupan liar disepanjang jajaran. Malah lintasan hidupan liar (wildlife crossing) seperti overpass dan underpass juga akan dibina dalam membantu hidupan liar untuk merentasi ECRL dengan selamat;
3
ii. Mewajibkan pihak pemaju untuk membina terowong bawah tanah di laluan yang merentasi hutan simpan. Sebanyak 8 buah terowong dengan panjang keseluruhan 39.3 km akan dibina bagi mengelakkan gangguan terhadap hutan simpan. Selain itu pihak pemaju juga diwajibkan untuk membina viaduct dan culvert bagi landasan yang berada di atas tanah samada di hutan simpan atau tanah kerajaan yang menjadi habitat hidupan liar. Sebanyak 4 buah viaduct dan beberapa buah culvert dicadangkan untuk dibina bagi membolehkan hidupan liar melintasi jajaran ECRL untuk ke hutan bersebelahan dan memastikan habitat hidupan liar terus bersambungan. Pihak pemaju turut diwajibkan untuk memasang pagar atau tembok di sepanjang jajaran sejauh 600.30 km bagi memastikan hidupan liar tidak memasuki landasan yang boleh mengakibatkan perlanggaran.
iii. Mewajibkan Pelan Mitigasi Hidupan Liar di dalam Environmental Impact Assessment (EIA) bagi projek ini. Pelan ini penting bagi mengetahui kehadiran spesies hidupan liar di kawasan terlibat dan program mitigasi yang perlu dijalankan bagi meminimakan kesan negatif terhadap hidupan liar dan penduduk sekitar. Pelaksanaan pelan mitigasi ini meliputi program menyelamat hidupan liar terperangkap, pengawalan konflik manusia-hidupan liar, translokasi hidupan liar, aktiviti penguatkuasaan, program kesedaran awam dan pengkayaan habitat. Melalui program dan aktiviti mitigasi yang dirancang ini diharap akan dapat meminimakan kesan terhadap ekosistem di kawasan yang terlibat.
Sekian, terima kasih.