Tuan Yang di-Pertua,
Sejak akhir-akhir ini corak taburan hujan di seluruh Negara mulai berubah dan didapati beberapa tempat telah mengalami situasi banjir kilat. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memantau situasi ini. Bagi tujuan pengesanan awal, rangkaian stesen hidrologi telah dibangunkan yang terdiri dari rangkaian telemetri dan bukan telemetri. Data yang diperolehi dari rangkaian ini dianalisa oleh pelbagai agensi seperti JPS, NAHRIM, penyelidik universiti dan perunding. Untuk menambah baik rangkaian ini, Program Memperkasa Data Dan Rangkaian Stesen Hidrologi Nasional sedang dilaksanakan oleh JPS di bawah RMKe-11. Maklumat dan data dari semua sumber ini amat diperlukan untuk tujuan analisis, input reka bentuk tebatan banjir, pengesanan ramalan dan amalan banjir serta seterusnya penaksiran sumber air negara masa hadapan.
Sekian, terima kasih.