Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui agensi di bawahnya iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pengawasan kualiti air sungai di seluruh negara pada setiap tahun bagi mengesan sebarang perubahan ketara kepada status kualiti air sungai dari masa ke masa.
Berdasarkan pengawasan yang dilaksanakan oleh JAS ke atas 477 batang sungai pada tahun 2016, sejumlah 22 batang sungai telah dikategorikan sebagai 'tercemar' iaitu berada pada tahap Kelas IV. Jumlah sungai yang mencatatkan tahap Kelas IV ini hanyalah 5% daripada jumlah keseluruhan sungai yang dipantau oleh JAS. Pada tahun 2016 juga, tiada sungai yang dikategorikan berada pada tahap Kelas V atau "sangat tercemar".
Kerajaan akan memperkenalkan kaedah langkah pemuliharaan kualiti air sungai melalui pendekatan pengawalan dari segi had kuantiti beban pencemar berbanding standard/had kepekatan pencemar yang telah diamalkan sejak sekian lama. Pelaksanaan pengawalan beban pencemar ini telah lama diamalkan secara meluas oleh beberapa negara maju di dunia.
Kaedah yang dicadangkan adalah melalui pelaksanaan penetapan Jumlah Beban Harian Maksimum atau Total Maximum Daily Load (TMDL) yang mengambilkira daya tampung (carrying capacity) sesuatu lembangan sungai. Pelaksanaan TMDL ini juga akan menjurus kepada penetapan standard sungai yang perlu diwartakan oleh Kerajaan Negeri dan standard tersebut hendaklah dipastikan sentiasa dikekalkan dengan kawalan ke atas pelepasan dari semua punca pencemaran.
Langkah-langkah lain yang telah diambil adalah menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemar sungai serta kempen-kempen kesedaran yang merupakan usaha peringkat awal dalam memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya sungai untuk dihargai dan dijaga sentiasa diberi penekanan oleh pelbagai agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Pendekatan ini adalah selain dari memberi penekanan kepada elemen peningkatan kualiti air sungai semata-mata. Langkah-langkah yang diambil ini merupakan tindakan bukan struktur dalam menggerakkan masyarakat supaya lebih menghargai sungai sebagai punca utama sumber air Negara.
Sekian, terima kasih.