Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

30 November 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

3

Soalan

​YBTM JAWAB

SOALAN: Dato' Haji Ahmad Nazlan Bin Idris [Jerantut] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sejauh manakah usaha yang dilakukan Kerajaan dalam memulihkan kawasan hutan yang telah gondol akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah melaksanakan langkah-langkah dalam usaha pemuliharaan kawasan hutan akibat penerokaan hutan melalui program-program berikut :
i. Program Pemulihan Kawasan Hutan Terosot (degraded)
Program pemulihan kawasan hutan terosot telah dirangka bagi memastikan pemuliharaan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang terosot dan miskin di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Di bawah RMK-10 (2011-2015), seluas 4,477 hektar kawasan terosot dalam HSK telah berjaya ditanam dengan pelbagai spesies pokok. Manakala bagi RMK-11 sejumlah RM100 juta telah diluluskan untuk memulihkan kawasan seluas 1,640 hektar dalam Hutan Simpan Kekal dan juga luar Hutan Simpan Kekal. Peruntukan ini juga digunakan bagi membiayai kos penyelidikan dan pembangunan (Research and Development –R&D), bantuan kepada Badan Bukan Kerajaan dan Program Communication, Education and Public Awareness (CEPA).
ii. Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesis lain Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai.
Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesies-spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara telah dilaksanakan sejak dari tahun 2005. Antara objektif pelaksanaan program ini ialah untuk memulihara pesisiran pantai sebagai lindungan semula jadi bagi mengurangkan kemusnahan akibat bencana alam dan hakisan pantai. Dari tahun 2005 -2016, seluas 2,711 hektar telah ditanam
3
dengan pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai dengan jumlah tanaman sebanyak 6,487,101 pokok. Program nasional yang dilaksanakan di seluruh negara ini menggabungkan penyertaan dan kerjasama bersepadu daripada semua pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Institusi Penyelidikan, Universiti-universiti, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.
iii. Program Penghijauan Melalui Penanaman Pokok
Program Penghijauan Melalui Penanaman Pokok adalah bertujuan untuk memupuk semangat cintakan kehijauan dan meningkatkan kesedaran masyarakat kepada alam sekitar. Di Semenanjung Malaysia sebanyak 37,530,417 pokok telah berjaya ditanam dari tahun 2010 hingga Ogos 2017 yang melibatkan kawasan seluas 44,105 hektar.
iv. Projek Central Forest Spine (CFS)
Projek Central Forest Spine (CFS) adalah bertujuan untuk membentuk satu rangkaian hutan perlindungan yang bersambung melalui pembentukan koridor ekologi bagi kepentingan pemeliharaan kepelbagaian biologi, hidupan liar dan alam sekitar. Projek ini juga melibatkan restorasi semula kawasan-kawasan terosot dalam koridor ekologi dengan pelbagai pokok hutan termasuk pokok nadir khususnya yang berkepentingan kepada fauna. Sekaligus ini dapat mengkayakan kepelbagaian biologi, menyedia laluan bagi hidupan liar terutamanya di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai rangkaian ekologi CFS.
4
v. Program Kesedaran Berkaitan Perhutanan
Program ini merupakan kempen kesedaran kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai kepentingan untuk memelihara dan memulihara khazanah hutan negara. Kem kesedaran ini dianjurkan bagi memupuk perasaan menghargai dan tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar terutamanya kawasan hutan. Daripada tahun 2010 hingga 2016 sebanyak 86 kem kesedaran mengenai perhutanan telah diadakan dan sebanyak 85 pameran berkaitan perhutanan telah diadakan.
vi. Program Kerjasama Strategik Penghijauan Semula Kawasan Bekas ceroboh/Teroka Di Dalam Dan Luar Hutan Simpanan Kekal.
Program penghijauan ini melibatkan aktiviti penanaman pokok bersama-sama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), masyarakat setempat, sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Selain itu, program ini juga turut dilaksanakan di bawah tanggungjawab sosial beberapa rakan strategik NRE iaitu PETRONAS, TESCO, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (PEKA), Sultan Ahmad Environmental Trust (SASET), Tropical Rain Forest Conservation and Research Centre (TRCRC), Malaysian Nature Society (MNS) dan Regional Enverinmental Awareness Cameron Highlands (REACH). Pada masa ini program penghijauan ini tertumpu di kawasan bekas ceroboh dan diteroka di Cameron Highlands dan Janda Baik, Pahang.
Program-program yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri telah berjaya memulih dan memelihara kawasan terosot seperti kawasan penerokaan.
5
Sekian, terima kasih


Attachments