Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

13 December 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

2

Soalan

​YBTM JAWAB​

Y.B. Datuk Haji Abidullah Bin Salleh minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan mengenai persediaan Kementerian dan agensi terbabit untuk menghadapi dan mengurus kecemasan krisis tumpahan minyak yang mungkin berlaku pada bila-bila masa seperti yang berlaku di Pengerang, Johor pada Ogos lalu disebabkan pelanggaran antara dua kapal dagang.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui agensi di bawahnya
iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa bersiapsiaga untuk
menghadapi dan mengurus kecemasan krisis tumpahan minyak yang
berkemungkinan berlaku di Perairan Negara. Rancangan Kontingensi
Kebangsaan Kawalan Tumpahan Minyak (RKKKTM) telah disediakan
bagi menghadapi sebarang kejadian tumpahan minyak di laut. RKKKTM
ini diurus dan dikawalselia oleh Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan
Tumpahan Minyak (JKKTM) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dianggotai oleh lapan belas (18) agensi
dan pihak swasta yang berkaitan dengan kawalan tumpahan minyak.
RKKKTM ini menggariskan perkara-perkara yang berkaitan dengan
peranan dan tanggungjawab setiap agensi dan pihak terlibat bagi
menghadapi sebarang kes tumpahan minyak yang berlaku, menyatakan
dengan jelas mengenai kaedah dan saluran komunikasi, pemantauan
pergerakan minyak, strategi kawalan tumpahan, pembersihan dan
senarai stockpile peralatan kawalan. Di samping itu juga setiap negeri
telah menyediakan Pelan Tindakan Pembersihan Pantai Negeri, di mana
pelan ini akan digerakkan bagi membersihkan tumpahan minyak yang
mencemari kawasan pantai.
Apabila berlaku tumpahan minyak terutamanya yang berskala besar
seperti kes pelanggaran kapal, pengawasan dan pemantauan pergerakan
minyak akan dibuat melalui Sistem Pemantauan Pergerakan Minyak (Oil
Trajectory Monitoring System) yang dikendalikan oleh Jabatan Alam
Sekitar (JAS). Di samping itu, pemantauan pergerakan minyak melalui
udara, laut dan darat juga akan dijalankan oleh agensi-agensi yang
terlibat. Maklumat-maklumat yang diperolehi daripada pemantauan ini
akan digunakan untuk merangka strategi melawan dan mengawal
tumpahan minyak serta melindungi kawasan-kawasan sensitif alam
sekitar.
Sehubungan itu, dengan adanya Rancangan Kontingensi Kebangsaan
Kawalan Tumpahan Minyak, Pelan Tindakan Pembersihan Pantai Negeri
dan Sistem Pemantauan Pergerakan Minyak (Oil Trajectory Monitoring
System) seperti yang dinyatakan di atas, pihak Kementerian
sememangnya bersiap siaga untuk menghadapi dan mengurus
kecemasan krisis tumpahan minyak yang berkemungkinan berlaku di
perairan negara.

Sekian, terima kasih.


Attachments