Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

12 December 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

17

Soalan

Datuk Sr. Haji Hanafi bin Haji Mamat minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bagaimana kejadian tanah runtuh boleh berlaku. Apakah tidak ada amaran awal diberikan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kejadian tanah runtuh boleh disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor semulajadi dan bukan semulajadi (human induced). Bagi faktor semula jadi boleh dibahagikan kepada kategori berikut:
(i) Geologi dan peluluhawaan (weathering);
(ii) Geomorfologi kawasan;
(iii) Struktur geologi dan ketakselanjaran;
(iv) Curahan Hujan/Air Larian Permukaan/Air Bawah Tanah; dan
(v) Aktiviti Seismos (gegaran gempabumi).
Manakala bagi faktor bukan semula jadi dikategorikan seperti berikut:
(i) Kelemahan rekabentuk/ kejuruteraan;
(ii) Penebangan hutan, penggondolan bukit, pembebanan di atas cerun, pencuraman kaki;
(iii) Ketidaksesuaian Gunatanah / Peningkatan Populasi;
(iv) Kurang pemantauan dan penyelenggaraan berkala seperti struktur penstabilan cerun, longkang tersumbat, sistem saliran tidak berfungsi dan hakisan;
(v) Gegaran kenderaan berat, kerja-kerja penanaman cerucuk atau letupan batuan di kawasan kuari berhampiran;
(vi) Kurang penyeliaan semasa pembinaan struktur-struktur penstabilan/ perlindungan cerun. Input kerja-kerja penyeliaan tapak boleh dari Jurutera Tapak (Site/Residence Engineer) atau Ahli Geologi Tapak (Site/Residence Geologist);
Dalam hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menjalankan kajian pemetaan bahaya dan risiko cerun (PBRC) di bawah RMKe-11 yang bertujuan memberikan maklumat geologi khusus mengenai risiko cerun di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berpotensi terhadap kejadian tanah runtuh.
Dalam aspek amaran awal terhadap kejadian tanah runtuh, JMG selaku agensi teknikal boleh memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit sekiranya terdapat tanda-tanda awal pergerakan tanah pada cerun. Seterusnya PBT atau jawatankuasa bencana yang dibentuk akan membuat kajian susulan berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan di peringkat negeri masing-masing.

Sekian, terima kasih


Attachments