Tuan Yang di-Pertua,
Terkini, usaha-usaha sedang giat dilaksanakan oleh pihak Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memperkenalkan sukatan mata pelajaran yang berteraskan alam sekitar di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah agar budaya mencintai alam sekitar ini dapat diterapkan seawal mungkin kepada generasi muda. Dengan adanya usaha ini diharapkan akan lahirlah rakyat Malaysia yang "endah alam sekitar" dan sebarang bentuk pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran laut dan hidupan marin yang berpunca dari aktiviti manusia akan dapat dibanteras.
Selain itu, terdapat beberapa langkah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia akan kesan pencemaran laut dan hidupan marin yang kurang mendapat perhatian masyarakat ketika ini. Ia meliputi:
-
Sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang diadakan pada setiap tahun secara serentak di seluruh negara bertujuan meningkatkan dan mengukuhkan tahap kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar;
-
Program Mesra Alam Sekitar yang melibatkan masyarakat setempat dalam usaha-usaha pemeliharaan alam sekitar dan mewujudkan rasa tanggung jawab bersama yang tinggi untuk memelihara hidupan marin negara. Antara aktiviti yang terlibat adalah pembersihan pantai (beach clean-up) dan pengutipan bebola tar (tar balls) dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organisation) dan kelab-kelab pencinta alam sekitar khususnya di kawasan pantai yang terdedah kepada tumpahan minyak daripada aktiviti perkapalan;
-
Program Rakan Alam Sekitar yang bertujuan mewujudkan kerjasama erat antara pihak Kerajaan dan masyarakat di mana setiap lapisan masyarakat boleh menyumbang terhadap kelestarian alam sekitar dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak Kerajaan untuk melaporkan kes-kes pencemaran yang berlaku di sekitar kawasan mereka; dan
-
Kempen Promosi Kesedaran Alam Sekitar yang bertujuan mempromosikan dan menyampaikan mesej-mesej alam sekitar berkaitan pemeliharaan perairan marin negara daripada ancaman pencemaran terutamanya tumpahan minyak dari perlanggaran kapal di laut;
Sekian, terima kasih.