Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Air

Nombor Soalan

516

Soalan

Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan:-

(a) Apakah syarat-syarat yang telah ditetapkan tentang pengurusan sisa racun klorin selepas digunakan oleh semua syarikat air dan agensi-agensi yang lain; dan

(b) Berapakah berat dalam tan sisa-sisa ini setiap bulan dan adakah Kementerian kenalpasti semua tapak dan cara-cara penghapusan sisa-sisa yang beracun ini.

Jawapan

​​​​

(a) Penggunaan klorin sebagai agen disinfeksi dalam air minuman telah digunakan secara meluas sejak tahun 1908. Kebanyakan loji rawatan air di Malaysia menggunakan klorin sebagai agen disinfeksi untuk membunuh patogen dan bahan pencemar yang membahayakan pengguna. Oleh kerana klorin merupakan agen disinfeksi yang kuat, ia boleh bertindakbalas dengan komponen-komponen kimia seperti mangan, ferum, hidrogen sulfida, ammonia dan fenol di dalam air. Klorin dalam bentuk tulen adalah bahan kimia yang toksik jika tersedut, boleh menyebabkan kerengsaan kulit dan mata yang serius, boleh menyebabkan kerengsaan pernafasan dan sangat toksik kepada hidupan akuatik.

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, terdapat dua (2) definisi yang boleh digunakan berhubung bahan kimia berbahaya. Satu definisi di bawah Peraturan CLASS menjelaskan bahawa, sesuatu bahan kimia adalah berbahaya sekiranya terkelas di bawah mana–mana kategori pengelasan yang telah digariskan di dalam Peraturan tersebut. Contoh kategori pengelasan yang terdapat dalam Peraturan CLASS ialah seperti cecair mudah terbakar, menghakis logam, kekarsinogenan dan kakisan atau kerengsaan kulit.

Satu lagi definisi di bawah Peraturan USECHH pula ialah bahan kimia berbahaya kepada kesihatan yang memfokuskan kepada bahan kimia yang khusus bahayanya akan mengakibatkan kesan kesihatan kepada sesiapa yang mengendalikan bahan kimia tersebut. Bahan kimia berbahaya kepada kesihatan ialah bahan kimia yang:

 # tersenarai di bawah jadual 1 dan 2;

 # mempunyai pengelasan di bawah hazard kesihatan di bawah Peraturan CLASS;

 # didefinisikan sebagai racun makhluk perosak di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974; atau

 # tersenarai di dalam Jadual Pertama di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974

Merujuk kepada Jadual Pertama di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, bekas yang dicemari dengan bahan kimia seperti klorin adalah buangan terjadual dengan kod buangan terjadual SW409. Syarikat air atau agensi lain yang menggunakan klorin sebagai agen disinfeksi adalah bertanggungjawab di bawah Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 iaitu:

(1) Tiap-tiap pengeluar buangan hendaklah memastikan bahawa buangan terjadual yang dikeluarkan olehnya distor dengan

 

baik, diolah di tapak, diperoleh kembali di tapak bahan atau hasil daripada buangan terjadual itu atau dihantar dan diterima di premis yang ditetapkan untuk pengolahan, pelupusan atau pemerolehan kembali bahan atau hasil daripada buangan terjadual;

(2) Tiap-tiap pengeluar buangan hendaklah memastikan bahawa buangan terjadual yang mengalami pergerakan atau pemindahan dibungkus, dilabel dan diangkat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah.

Garispanduan yang boleh dirujuk oleh pengeluar buangan adalah Guidelines for Packaging, Labelling and Storage of Scheduled Wastes In Malaysia terbitan Jabatan Alam Sekitar, 2014. Semakan premis yang ditetapkan yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan pengolahan, pelupusan atau pemerolehan kembali bagi kod buangan terjadual SW409 boleh disemak di laman sesawang https://eswis.doe.gov.my

Tiap-tiap kesalahan yang terdiri daripada apa-apa ketinggalan atau keabaian untuk mematuhi atau apa-apa perbuatan yang dilakukan atau cuba hendak dilakukan yang berlawanan dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 boleh dikompaun di bawah Seksyen 45 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

(b) Di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 seseorang pengeluar buangan, kontraktor dan penduduk premis yang ditetapkan hendaklah menyediakan maklumat menurut Jadual Keenam mengikut cara yang diperuntukkan dalam peraturan ini atau Ketua Pengarah Alam Sekitar boleh menentukan kaedah lain yang difikirkan patut olehnya. Jadual keenam di dalam Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 merupakan nota konsainan buangan terjadual yang perlu dilengkapkan oleh pengeluar buangan terjadual, kontraktor yang mengangkut buangan terjadual dan penduduk premis yang ditetapkan bagi pengolahan, pelupusan atau pemerolehan kembali bahan buangan terjadual tersebut. Kontraktor yang mengangkut buangan terjadual dan penduduk premis yang ditetapkan adalah dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekitar, 1974. Pemantauan buangan terjadual yang dijana oleh pengeluar buangan dan yang diterima di premis yang ditetapkan pengolahan, pelupusan atau pemerolehan kembali bahan buangan terjadual dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui Sistem Electronic Scheduled Waste Information System (eSWIS). Sebanyak 72,325.72 MT bagi kod buangan terjadual SW 409 telah dijana dari 1 Januari 2017 hingga 11 Oktober 2017 dari pelbagai industri. Jumlah sebenar pengeluar buangan yang terlibat dalam penggunaan klorin tiada dalam rekod Jabatan Alam Sekitar.

Sekian, terima kasih.

Attachments