Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 December 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

11

Soalan

Datuk Haji Abidullah Bin Salleh minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan tindakan Kementerian dalam membendung masalah pencemaran air sungai disebabkan aktiviti komersial seperti yang berlaku di Sungai Johor, Kota Tinggi baru-baru ini. Apakah tindakan tegas yang diambil terhadap pihak bertanggungjawab memandangkan mengikut laporan, pencemaran itu disebabkan oleh pihak yang sama dan telah berulang sebanyak tiga kali.

Jawapan

​​Tuan Yang di-Pertua,

Premis yang disyaki menyebabkan pencemaran ammonia ke Sungai Johor adalah premis yang beroperasi di luar kawasan Majlis Daerah dan telah melanggar syarat nyata tanah. Di pihak Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Notis Arahan di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan bagi mengarahkan premis membersihkan sisa najis ayam di kawasan sekitar premis yang boleh memasuki alur air dan mengambil langkah untuk mengelakkan pencemaran berlaku. Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor juga telah mengeluarkan surat kepada Pejabat Tanah Daerah bagi memohon agensi tersebut mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan bidangkuasa disebabkan pelanggaran syarat nyata tanah dan kepada Jabatan Veterinar untuk menilai semula permit serta mempertimbangkan pengurangan jumlah bilangan ternakan unggas kepada ladang ayam terbabit dengan mengambilkira jumlah najis ayam yang terhasil dan lokasi ladang yang sensitif iaitu terletak di hulu muka sauk (intake) loji rawatan air.

Pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah mengeluarkan sebanyak 4 Notis Arahan kepada premis terbabit. Tindakan pembaikan telah diambil oleh premis berdasarkan Notis Arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor berdasarkan kes yang berlaku sebelum ini. Walaubagaimanapun, kes masih berulang disebabkan penghasilan najis ayam dari ladang berhampiran premis masih berterusan sehingga menyebabkan lebihan longgokan najis ayam dan terdedah kepada air hujan.

Berdasarkan kes terbaru pada Oktober 2017 lalu, Kerajaan Negeri Johor telah mengeluarkan satu ketetapan dan keputusan melalui satu mesyuarat yang diadakan pada 30 Oktober 2017 dipengerusikan oleh Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) iaitu arahan untuk menutup ladang dan premis tersebut melalui Jabatan Veterinar Negeri Johor dan Pejabat Tanah Daerah disebabkan pelanggaran syarat nyata tanah.

Sekian, terima kasih.


Attachments