Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) memainkan peranan penting dalam usaha ke arah pemeliharaan, pemuliharaan dan kesedaran alam sekitar melalui pendekatan program komunikasi dan kesedaran alam sekitar.
Secara umumnya, terdapat peningkatan tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap pengurusan alam sekitar Negara menerusi indikator seperti:
Peningkatan sambutan dan penglibatan serta engagement masyarakat dalam program kesedaran alam sekitar (CEPA):
(a) Penglibatan masyarakat ke atas sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada 21 Oktober 2017 adalah sangat menggalakkan dengan kehadiran lebih 30,000 orang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di setiap negeri secara serentak. Penganjuran program-program seumpama ini juga telah mendapat komitmen dan kerjasama padu daripada Kerajaan Negeri, agensi-agensi Kerajaan, Rakan Strategik Alam Sekitar dan lain-lain. Ini menunjukkan masyarakat lebih proaktif dan terlibat secara terus ke arah usaha berterusan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar Negara;
3
(b) Peningkatan bilangan masyarakat awam yang berdaftar sebagai Rakan Alam Sekitar (RAS). Sehingga November 2017, bilangan ahli RAS adalah 300,673 orang;
(c) Peningkatan bilangan pelawat yang menggunakan aplikasi dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar seperti Enviro Museum dan Enviro Knowledge Management Centre;
(d) Peningkatan bilangan Rakan Strategik Alam Sekitar yang terdiri daripada pihak industri, syarikat swasta, perunding dan lain-lain agensi yang memberi kerjasama serta komitmen dalam penganjuran program Jabatan; dan
(e) Sambutan masyarakat sangat menggalakkan dalam program-program seperti program kitar semula, kempen tanpa plastik dan polisterin, kempen hari tanpa kereta dan lain-lain.
Sekian, terima kasih.