Tuan Yang di-Pertua,
Panjang persisiran pantai daripada Minyak Beku ke Benut dalam Parlimen Batu Pahat adalah lebih kurang 50km. Terdapat beberapa lokasi mempunyai struktur pelindung pantai yang berbatu iaitu Jeti Perigi Batu Pahat, Pulau Sialu, Tanjung Segenting, Tanjung Laboh dan Pulau Tikus Kechil. Kawasan–kawasan lain telah dilindungi oleh ban tanah dan beberapa kawasan telah di bina ban batu seperti di Teluk Serting, Sungai Koris, Sungai Senggarang dan Sungai Botak. Walau bagaimanapun, lokasi yang paling ketara memerlukan cadangan adaptasi ialah di kawasan jeti eko-pelancongan Minyak Beku, Kampung Sg. Ayam Laut, Teluk Segenting, Sg. Koris dan Sg. Punggor. Ini adalah kerana, sebahagian pesisiran pantai Batu Pahat tidak mempunyai sebarang struktur pelindung pantai manakala di kawasan lain pula, struktur yang sedia ada telah rosak serta mempunyai ketinggian yang tidak mencukupi.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diperuntukkan sebanyak RM1.6 juta dalam RMKe-11, bagi kerja-kerja pembaikan ban pantai di 4 kawasan iaitu pantai Kampung Sungai Lurus, pantai Kampung Parit Jabar, pantai Kampung Bukit Batu dan pantai Kampung Sungai Koris yang dijangka siap pada Oktober 2018. Selain itu, sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi mengatasi masalah fenomena air pasang besar termasuklah negeri Johor.
Selain itu, Kementerian ini melalui Pusat Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sentiasa memberi perhatian yang serius berkenaaan isu hakisan pantai di seluruh pesisiran pantai negara. Pemantauan terhadap permasalahan ini juga dilakukan secara berterusan dan terdapat banyak inisiatif yang telah dilakukan oleh Kementerian dalam menangani isu hakisan pantai. Terdapat beberapa langkah yang dapat dipertimbangkan dalam mengawal hakisan pantai, seperti menggunakan langkah kuratif. Di antara langkah kuratif adalah melaksanakan kerja kawalan hakisan di kawasan kritikal dengan kombinasi pilihan kejuruteraan seperti gabungan penambakan pantai dan pembinaan groin. Membina struktur lain di pantai seperti ban juga adalah amalan biasa bagi melindungi persisir pantai.
Di samping itu, kawalan pembangunan di sepanjang garis pantai adalah amalan terbaik dengan menggunakan perintah eksekutif/ pekeliling pentadbiran dan garis panduan untuk mengawal hakisan pantai seperti 'Garis panduan 2/2009: Kawalan Hakisan Berikutan Dari Pembangunan Di Kawasan Pantai', 2009 dan 'Garis Panduan Untuk Penyediaan Kajian Hidraulik Kejuruteraan Pantai Dan Penilaian Kesan', 2013.
Kementerian ini telah juga menghasilkan Laporan Kajian Hakisan Pantai Negara (National Coastal Erosion Study - NCES) 2015 yang memaparkan maklumat terkini mengenai status hakisan pantai negara. Dalam konteks penyelidikan dan pembangunan (R&D) pula, NAHRIM sedang giat menjalankan penyelidikan khusus bagi mengenalpasti kaedah mitigasi dan adaptasi yang sesuai dalam menangani masalah hakisan. Hasil penyelidikan ini akan memberi pemahaman yang lebih baik kepada penjawat awam dan orang ramai mengenai hakisan pantai di samping memberi panduan yang lebih baik kepada penggubal dasar dan agensi pelaksana di pelbagai agensi.
Pembangunan teknologi dan inovasi baru mengenai produk-produk perlindungan pantai adalah juga teras penyelidikan di NAHRIM kerana ia dapat memberikan alternatif yang terbaik dalam menangani masalah hakisan di sepanjang pesisir pantai negara.
Sekian, terima kasih.