Tuan Yang di-Pertua,
Isu pencemaran ammonia di sungai-sungai di Malaysia adalah kebanyakannya berpunca dari pelepasan efluen kumbahan yang memasuki lembangan utama beberapa sungai di Negeri-negeri di negara kita. Terdapat juga isu peningkatan ammonia akibat dari aktiviti perladangan dan penternakan (diluar bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar) seperti aktiviti pemproses baja tahi ayam, pembajaan di kawasan pertanian dan juga pembukaan kawasan pertanian meluas yang terletak di dalam kawasan tadahan (yang tidak diwartakan); walau pun kawasan terjejas ini terletak di dalam pengurusan dan kawalan sumber air mentah oleh Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri.
Bagi kawalan pelepasan efluen dari industri, pihak Jabatan Alam Sekitar sentiasa memantau pelepasan dari punca-punca yang jelas di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar seperti kilang kelapa sawit dan pelepasan kumbahan dari sistem pengolahan kumbahan berpusat di kawasan taman perumahan dan pusat-pusat komersil.
Penguatkuasan dan pemantauan secara berkala ke atas sungai-sungai yang berisiko tinggi tercemar memang dikawal yang meliputi dari semua aspek perancangan penempatan industri, penguatkuasaan berterusan, pengawasan dan program kesedaran dan pendidikan alam sekitar. Pada masa ini JAS memantau 477 batang sungai diseluruh negara melalui Sistem Pemantauan Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Monitoring Program, EQMP) yang berterusan secara real time.
Kementerian ini juga dalam proses untuk mengeluarkan satu Garis Panduan Merawat Air Buangan Najis Ayam dan Pengurusan Sisa Buangan yang mana garis panduan ini akan menyediakan satu konsep iaitu kaedah rawatan asas yang perlu disediakan oleh semua pengusaha aktiviti pemprosesan najis ayam agar di akhir proses rawatan ini air kumbahan yang dikeluarkan akan dapat memenuhi Standard yang ditetapkan dan tidak mengganggu aktiviti-aktiviti hiliran terutama Loji Rawatan Air bagi perbekalan Air Mentah kepada pengguna. Sebelum ini Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan dua Garispanduan berkaitan penternakan iaitu:
i) Garispanduan Kawalan Pencemaran Daripada Aktiviti Penternakan Lembu Pedaging;
ii) Garispanduan Kawalan Pencemaran Daripada Aktiviti Penternakan Babi.
Sekian, terima kasih.