Tuan Yang di-Pertua,
Di peringkat antarabangsa, Gajah Asia (Elephas maximus) telah disenaraikan di dalam Appendix 1 oleh Convention on International Trade of Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang membawa maksud hidupan liar ini tidak boleh diniagakan oleh kerana populasinya yang semakin terancam kepupusan. Malaysia merupakan ahli yang aktif di dalam konvensyen CITES ini. Gajah juga turut dikategorikan sebagai hidupan liar yang terancam di dalam Buku Data Merah The World Conservation Union (IUCN). Di Malaysia, gajah merupakan hidupan liar yang perlindungi sepenuhnya dalam di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Taburan gajah di Semenanjung Malaysia tersebar luas dari Utara sehingga ke Selatan terutama di negeri-negeri Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. Populasi gajah liar di Semenanjung Malaysia adalah dianggarkan antara 1,220 - 1,450 ekor. Tiada gajah liar direkodkan di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Perlis. Ini adalah kerana populasi gajah di negeri-negeri tersebut telah dipindahkan ke negeri lain disebabkan kekurangan keluasan habitat yang sesuai. Seiring dengan perkembangan ekonomi pesat dan peningkatan penduduk di negara ini, beberapa kawasan yang merupakan habitat asal dan kawasan keliaran gajah liar telah diteroka sama ada menjadi kawasan penempatan manusia, pertanian atau pembangunan guna tanah yang lain. Konflik manusia-hidupan liar berlaku apabila interaksi antara manusia dan hidupan liar membawa kesan negatif kepada salah satu atau kedua-dua pihak dari segi kesejahteraan hidup, sumber dan habitat.
Berdasarkan rekod, dalam tempoh tahun 2013 hingga 2017, sejumlah 1,988 aduan gangguan gajah telah diterima oleh Jabatan PERHLITAN Semenanjung Malaysia. Gajah merupakan spesies ketiga tertinggi yang menimbulkan konflik selepas kera (20,198 aduan) dan babi hutan (4,054 aduan).
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi menangani konflik ‘manusia-gajah’ ini, pihak Jabatan PERHILITAN telah menjalankan beberapa tindakan iaitu:
a) Mewujudkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) pada tahun 2013 sebagai keperluan pendekatan lebih holistik. Pelan tindakan ini juga melibatkan kerjasama beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO);
b) Sebanyak 161 ekor gajah konflik sejak tahun 2013 hingga 2017 telah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Ketiar di Terengganu, Taman Negara Terengganu, HS Belum di Perak, HS Lenggor di Perak, HS Panti di Johor dan Taman Negara Johor (Endau-Rompin) dengan kos kewangan lebih kurang RM 9.12 juta;
c) Pembinaan pagar elektrik sepanjang 283.3 km di kawasan konflik manusia-gajah bagi lima buah negeri keliaran gajah iaitu Pahang, Johor, Perak, Kelantan dan Terengganu dengan kos keseluruhan sebanyak RM 13.65 juta;
4
d) Mengadakan program kesedaran awam dan program pemasangan pagar komuniti bersama komuniti terkesan konflik manusia-gajah. Selain itu, turut dilaksanakan sesi perbincangan dan konsultasi bersama pihak berkepentingan di sekitar kawasan konflik manusia-gajah. Dalam program ini sesi kesedaran dan kefahaman telah diberikan yang meliputi sesi dialog dan perbincangan bersama masyarakat yang memberi tumpuan terhadap menyayangi hidupan liar dan kaedah pengurusan kebun yang betul terutamanya yang bersempadan dengan kawasan hutan; dan
e) Pelaksanaan sistem amaran awal dan menjalankan penyelidikan pergerakan gajah liar melalui pemasangan kolar satelit ke atas 21 ekor gajah.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
Bagi pengurusan populasi gajah di sekitar Jalan Raya Timur-Barat pula, beberapa strategi telah dan akan dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN seperti berikut:
a) Mewujudkan lintasan hidupan liar yang dikenali sebagai animals viaduct di Kilometer 157, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli. Lintasan tersebut menghubungkan Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor. Pembinaan viaduct ini bertujuan untuk memberi laluan selamat kepada hidupan liar terutamanya gajah dan secara tidak langsung dapat memastikan pengguna jalan raya sentiasa berada dalam keadaan selamat.
b) Cadangan penubuhan Santuari Gajah Amanjaya, Negeri Perak sebagai kawasan keliaran gajah sebagai langkah untuk mengurangkan risiko konflik manusia-gajah;
c) Menjalankan program pengkayaan habitat di sekitar kawasan ‘viaduct’ untuk menarik perhatian gajah-gajah dan hidupan liar lain agar melalui lintasan berkenaan dengan selamat dan tidak mengganggu pengguna jalan raya;
d) Telah memasang 8 papan tanda besar dan 15 papan tanda kecil peringatan gajah liar melintas sebagai panduan keselamatan dan peringatan kepada pengguna jalan raya;
e) Membina menara kawalan bagi memantau kawasan viaduct daripada ancaman pemburuan haram samada gajah ataupun hidupan liar lain;
f) Memasang pagar elektrik sepanjang 10 kilometer di kiri-kanan kawasan viaduct bagi membentuk laluan hidupan liar ke arah menggunakan viaduct sebagai lintasan;
g) Akan menambah papan tanda lintasan hidupan liar di kawasan-kawasan lain yang telah dikenalpasti berpotensi menimbulkan ancaman kepada pengguna jalan raya; dan
h) Bagi mendapatkan maklumat keberkesanan pembinaan animals viaduct di Kilometer 157, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, kajian pemantauan telah dilaksanakan. Sejumlah 8 unit perangkap kamera sejak Januari hingga Oktober 2017 telah dipasang bagi mengesan hidupan liar yang menggunakan ‘viaduct’ ini. Hasil kajian telah mendapati spesies gajah dan babi hutan menggunakan ‘viaduct’ untuk melintasi menyeberangi JRTB. Manakala hasil perangkap kamera yang dipasang di kawasan jenut tiruan berhampiran ‘viaduct’ mendapati kehadiran empat (4) spesies hidupan liar iaitu gajah, rusa sambar, kijang dan babi hutan telah hadir ke kawasan ini.
Sekian, terima kasih