Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan sentiasa komited dalam mengurangkan isu pencemaran udara. Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar telah mengambil tindakan proaktif melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Udara Bersih 2010 (Clean Air Action Plan - CAAP) yang telah menggariskan hala tuju kepada pihak-pihak berkepentingan dalam pengurusan kualiti udara dan langkah-langkah penyelesaian jangkamasa pendek, sederhana dan panjang dalam menangani masalah pengeluaran karbon atau pencemaran udara. Beberapa strategi dan pelan tindakan telah dirumus dalam Pelan Tindakan Udara Bersih ini ke arah mempertingkatkan kualiti udara bagi kesejahteraan hidup rakyat.
Antara strategi yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih adalah:
a) Mengurangkan pencemaran udara dari kenderaan bermotor;
b) Mengurangkan pencemaran udara dari aktiviti perindustrian;
c) Menangani masalah jerebu yang berpunca dari kebakaran tanah dan hutan serta aktiviti pembakaran terbuka;
d) Meningkatkan pembangunan modal insan dan pembangunan keupayaan dalam pengurusan kualiti udara; dan
e) Memperkasakan program-program pendidikan dan kesedaran kepada orang awam serta mempertingkatkan penyertaan mereka dalam pengurusan kualiti udara yang lestari.
Buat masa ini, tiada kajian yang dilaksanakan bagi menilai tahap pencemaran karbon dan impaknya kepada kesihatan di Malaysia.
Sekian, terima kasih