Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

2

Soalan

YB Tuan Lim Lip Eng [SEGAMBUT] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan status pencapaian langkah-langkah Kerajaan memelihara dan memulihara alam sekitar termasuk larangan kegunaan polisterina dan beg plastik bukan biodegradasi oleh peniaga. Apakah inisiatif baru Kerajaan untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Buat masa ini, tiada dasar khusus berkaitan penggunaan polisterina dan beg plastik yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Dasar sedia ada iaitu Dasar Pengurusan Sisa Pepejal yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut memberi penekanan kepada pengurusan sisa melalui konsep 3R iaitu reduce, reuse dan recycle.
Isu pengurusan sisa plastik adalah di luar bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar hanya bertanggungjawab mengawal operasi premis industri yang menghasilkan plastik. Bagi memastikan operasi kilang plastik tidak menjejaskan alam sekitar, antara langkah-langkah yang digunakan adalah seperti berikut:

Menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan secara berterusan penguatkuasaan ke atas premis industri plastik di nagara Malaysia. Mengikut rekod Jabatan Alam Sekitar terdapat kira-kira 1,767 buah premis industri plastik di seluruh Malaysia. Industri ini adalah tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 kerana melepaskan asap industri ke udara dan efluen industri ke alur air daratan. Pada tahun 2017, sebanyak 1,419 premis (80%) industri plastik ini mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala sebanyak 348 premis (20%) pula tidak mematuhi kehendak Akta ini.
Tindakan penguatkuasaan juga telah diambil oleh JAS ke atas premis yang tidak patuh termasuklah mengeluarkan Notis Arahan, mengenakan kompaun dan tindakan mahkamah. Sehingga kini sebanyak 259 Notis Arahan telah dikeluarkan, sebanyak 64 kompaun telah dikenakan dan sebanyak 25 kes telah diambil tindakan mahkamah. Jumlah ini adalah 5% lebih rendah berbanding dengan tahun 2016.

Tuan Yang di-Pertua,

Berhubung dengan soalan mengenai pemberhentian penggunaan beg plastik dan mewajibkan semua peniaga menyediakan alternatif alat pembungkusan lain, Kementerian ini sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mempertingkatkan usaha ke arah konsep reduced, reused, and recycled (3R) untuk mengurangkan penghasilan sisa-sisa pepejal yang merbahaya terhadap alam sekitar.

Kementerian saya juga sentiasa menyokong usaha-usaha yang sedang dilaksanakan dengan memberikan input dan terlibat dalam program-program yang dilaksanakan oleh KPKT dan KPDNKK bagi mengurangkan penggunaan polisterina dan beg plastik bukan biodegradasi. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah polisterina dan beg plastik bukan biodegradasi ke tapak pelupusan (landfill) yang berdasarkan kajian boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar seperti pencemaran sisa-sisa plastik di dalam tanah yang boleh menjejaskan kualiti air tanah, menyebabkan longkang dan sungai tersumbat dan mengakibatkan banjir kilat di kawasan bandar dan bahan mikro-plastik boleh mengancam kehidupan marin sekiranya bahan-bahan plastik berakhir di laut.

Kementerian saya juga akan meningkatkan program-program pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis industri plastik. Bagi meningkatkan inisiatif baru Kerajaan untuk mengatasi pencemaran alam sekitar dari penggunaan polisterina dan beg plastik bukan biodegradasi, Kementerian saya akan meneruskan penganjuran program-program kesedaran alam sekitar seperti ceramah, jerayawara, pameran dan pelbagai hebahan melalui media massa, elektronik dan media cetak bagi memastikan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kesan daripada penggunaan plastik tersebut. Penganjuran program-program penglibatan awam seperti Rakan Alam Sekitar (RAS) dan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kumpulan pelajar, pendidik, agensi swasta dan Kerajaan serta masyarakat bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai impak daripada penggunaan plastik bukan biodegradasi ke atas flora dan fauna.

Sekian, terima kasih.

Attachments