Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

225

Soalan

Tuan Lim Guan Eng [ Bagan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah tindakan yang diambil bagi mengelak lebih banyak pembalakan dan penebangan hutan di kawasan tadahan air Empangan Muda yang telah berkurangan sebanyak 87.3% sejak ia mula dibina pada tahun 1969 hingga 2017. Senaraikan kawasan-kawasan tadahan air mengikut negeri dan keluasannya serta keluasan hutan berhampiran ia sejak 10 tahun lalu. Apakah punca penangguhan Skim Pengairan Air Mentah Sungai Perak ke Pulau Pinang.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Kawasan Empangan Muda seluas lebih kurang 3,382 hektar terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Bukit Saiong Negeri Kedah. Pihak Kerajaan Negeri sama sekali tidak melaksanaan aktiviti pembalakan dalam kawasan hutan tadahan air. Aktiviti pembalakan hanya dilaksanakan di kawasan hutan pengeluaran.

Antara tindakan yang diambil oleh Jabatan Perhutan Negeri Kedah dalam memelihara dan mengekalkan kawasan tadahan air di Empangan Muda tersebut adalah:

(i) pada dasarnya Jabatan Perhutanan Negeri tidak menyokong atau mengesyorkan aktiviti pembalakan dalam kawasan hutan tadahan air;

(ii) mewarta dan mengekalkan Hutan Simpan Ulu Muda seluas 105,059 hektar dan Hutan Simpan Bukit Saiong seluas 8,191 hektar sebagai Hutan Simpanan Kekal dibawah seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313);

(iii) mengelaskan seluas 16,229 hektar Hutan Simpan Ulu Muda dan 6,266 hektar Hutan Simpan Bukit Saiong sebagai kawasan hutan tadahan air di bawah seksyen 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313);

(iv) meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan keatas aktiviti pembalakan yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam kawasan hutan yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran Kayu di bawah Perolehan Berkekalan seksyen 10(1) (a) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) agar pelesen mematuhi syarat-syarat lesen dan keperluan dan peraturan di bawah standard Kriteria dan Petunjuk Malaysia (Malaysia Criteria and Indicator - MC&I) yang menekankan pengawalan kestabilan alam sekitar, pengekalan kualiti sumber air dan kesejahteraan kehidupan masyarakat setempat; dan

(v) melaksanakan aktiviti tanaman pokok dari spesies pokok berpasaran di kawasan matau sementara, lorong-lorong penarik dan kawasan lapang dalam kawasan yang telah dilesenkan untuk mempercepatkan proses pemulihan dan pemeliharaan kawasan tersebut.

Secara amnya, kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dikelaskan kepada 12 fungsi kelas di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. Bagi aktiviti pengusahasilan ianya hanya dijalankan di dalam hutan yang dikhaskan untuk tujuan pengeluaran. Manakala bagi lain-lain fungsi hutan dikelaskan di bawah Hutan Perlindungan. Salah satu fungsi kelas yang dikategorikan di bawah Hutan Perlindungan ialah Hutan Tadahan Air.

Bagi memastikan kawasan tadahan air ini dilindungi, dipelihara dan diuruskan secara terbaik melalui amalan pengurusan hutan secara berkekalan, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mewartakan kawasan hutan yang telah dikenal pasti sebagai Hutan Tadahan Air mengikut keperluan seksyen 10(1)(e)

Akta Perhutanan Negara 1984. Sehingga kini, seluas 731,675 hektar kawasan HSK telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air seperti di dalam jadual di Lampiran.

Sekian, terima kasih

Attachments