Tuan Yang di-Pertua,
Ladang hutan yang dibangunkan oleh kerajaan-kerajaan negeri adalah di dalam Zon Ladang Hutan yang telah dipersetujui di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK).
Penubuhan ladang hutan adalah selaras dengan kehendak Dasar Perhutanan Negara (DPN) 1978 (Pindaan 1992) dan Dasar Industri Perkayuan Nasional (NATIP) 2009-2020 yang menekankan kepentingan penubuhan ladang hutan untuk menampung bekalan mentah untuk industri pemprosesan berasaskan kayu-kayan serta menggalakkan pelaburan sektor swasta yang aktif dalam penubuhan dan pembangunan ladang hutan.
Berdasarkan kehendak yang dinyatakan oleh dasar-dasar berkenaan, maka kawasan ladang hutan kekal berstatus Hutan Simpanan Kekal dan dikelaskan di bawah Seksyen10(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) - hutan pengeluaran kayu di bawah perolehan berkekalan.
Sebagai tambahan, semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Melaka dan Pulau Pinang direkodkan telah membangunkan ladang hutan seluas 113,112.02 hektar melibatkan pelbagai Hutan Simpanan Kekal sejak tahun 1980'an.
Sekian, terima kasih.