Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

43

Soalan

​Dato' Haji Ahmad Nazlan Bin Idris [Jerantut] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan harimau merupakan suatu simbol kegagahan dan kebanggaan bagi Negara kita. Sejak kebelakangan ini, habitat harimau berkurangan akibat pembukaan hutan yang menyebabkan populasi harimau terjejas. Mohon pihak Kerajaan untuk menyatakan berapakah keluasan habitat Harimau dan apakah langkah yang telah diambil oleh Kerajaan bagi memulihara spesies ini untuk generasi akan datang.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NRE) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sentiasa komited dalam melindungi Harimau Malaya daripada kepupusan.

Aktiviti konservasi Harimau Malaya di pelbagai landskap hutan berdepan dengan cabaran seperti kehilangan habitat dan fragmentasi hutan akibat perubahan guna tanah serta pemburuan haram untuk tujuan komersil yang merupakan ancaman utama kepada Harimau Malaya.

Dianggarkan hampir 50,000 km2 hutan di Semenanjung Malaysia diperlukan bagi menampung 1,000 ekor Harimau Malaya. Sehingga kini di Malaysia terdapat hampir 6,000 km2 (600,000 ha) kawasan perlindungan yang merupakan habitat yang penting serta diiktiraf diperingkat global bagi pemuliharaan harimau. Kawasan perlindungan tersebut adalah Taman Negara di Pahang, Kelantan dan Terengganu (434,300 ha), Taman Negeri Belum di Perak (117,500 ha) dan Taman Negara Endau Rompin di Johor (48,000 ha).

Kementerian menyedari bahawa Kawasan Perlindungan yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kawasan hidupan liar terutamanya spesies seperti harimau. Ia memerlukan kawasan hutan yang luas untuk berkeliaran bagi mencari makanan, mendapatkan perlindungan serta membiak. Sehubungan itu bagi memastikan habitat hidupan liar yang mencukupi, Kerajaan telah mengambil inisiatif melalui pelaksanaan Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) dan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Belang Kebangsaan (National Tiger Conservation Action Plan - NTCAP). Menerusi pelaksanaan Pelan Induk CFS dan NTCAP ini adalah diharapkan pengurusan kawasan hutan yang terlibat dapat diurus secara mampan dan hidupan liar, terutamanya harimau dilindungi dan terpelihara daripada ancaman kepupusan.

Sehingga kini para pakar menganggarkan bahawa terdapat 250 hingga 340 ekor Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia berdasarkan survei yang telah dijalankan dari tahun 2010 sehingga 2013 melalui pemasangan perangkap kamera berpandukan protokol yang telah ditetapkan di tujuh lokasi yang merentasi tiga landskap utama iaitu Belum-Temengor (Perak), Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan Endau-Rompin (Rompin).

Hasil kajian menunjukkan bahawa anggaran populasi semasa adalah kurang berbanding anggaran sebelum ini iaitu kewujudan sebanyak 500 ekor harimau di Semenanjung Malaysia. Namun demikian, lebih banyak lokasi yang masih perlu dikaji menerusi 1st National Tiger Survey (1st NTS) di bawah Rancangan Malaysia ke 11 (2016-2020) untuk menentukan anggaran sebenar populasi Harimau Belang untuk Malaysia.

Jabatan Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain, gabungan NGO alam sekitar, dan agensi-agensi lain kini melaksanakan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan populasinya. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Jabatan Perhilitan termasuklah:  

a) Mengukuhkan perundangan terhadap spesies harimau dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 [Akta 716];

b) Melaksanakan moratorium terhadap spesies mangsa harimau seperti Rusa Sambar dan Kijang selama 5 tahun iaitu dari 1 November 2016 hingga 30 November 2021;

c) Meningkatkan rondaan penguatkuasaan di dalam dan luar Kawasan Perlindungan (PA) menerusi program 1MBEON dan operasi bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan seperti KASTAM, PDRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia;

d) Memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi pelaksanaan aktiviti di bawah NTCAP;

e) Meningkatkan program kesedaran awam seperti pameran, ceramah, dialog bersama masyarakat menerusi Jabatan PERHILITAN serta kerjasama dengan pihak NGO berkaitan seperti World Wide Fund Malaysia (WWF-M), Wildlife Conservation Society Malaysia (WCS-M), Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) dan Malaysian Nature Society (MNS); dan

f) Menyertai secara proaktif dalam forum dan seminar bagi membincangkan isu konservasi harimau diperingkat nasional dan global.

Sekian, terima kasih.

Attachments