Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

42

Soalan

​YB DATO' HAJI AHMAD NAZLAN BIN IDRIS [JERANTUT] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah projek-projek R&D yang telah dijalankan berkaitan penggunaan semula sisa atau biomass untuk dijadikan sebagai sumber kekayaan baru negara.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

NRE melalui FRIM melaksanakan aktiviti R&D dengan penggunaan semula sisa atau biomass untuk menghasilkan produk bernilai tambah dalam pelbagai industri. Projek-projek R&D berkaitan penggunaan semula sisa atau biomass untuk dijadikan sebagai sumber kekayaan baru negara adalah:

i. Mengenalpasti kesesuaian sisa biomass seperti habuk kayu, reja industri perhutanan, sisa industri sawit iaitu tandan kosong dan batang sawit untuk dijadikan pellet dan briket bahan bakar penjanaan tenaga boleh diperbaharui;

ii. Penyelidikan sisa biomass industri sawit untuk penghasilan bioethanol yang dapat dijadikan medium pengekstrak bahan aktif industri herba dan sebagai pelarut produk-produk farmaseutikal mesra alam;

iii. Pengitaran semula minyak masak terpakai untuk penghasilan Aedes Biobased Fuel (ABBF) sebagai bahan ganti diesel bagi aktiviti penyemburan nyamuk aedes. Produk mesra alam ini dapat mengurangkan risiko kesihatan, pencemaran alam sekitar melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta mempunyai bau yang menyenangkan berbanding bahan semburan konvensional. Ujilari produk ini telah dijalankan dengan jayanya di empat (4) buah taman di daerah Sepang;

iv. Penyelidikan serat pulpa daripada biomass jerami padi untuk penghasilan produk seperti kertas pembungkus untuk packaging dan moulded containers;

v. Projek skala rintis penghasilan viscose rayon dari biomass kenaf untuk digunakan oleh industri tekstil;

vi. Penghasilan carbon fibre dari kenaf rayon untuk digunakan dalam industri tekstil berketahanan tinggi seperti bahan kalis peluru dan komposit;

vii. Penghasilan bahan nano selulosa dari bahan lignoselulosa (sisa industri kayu/sawit/pertanian) dalam pelbagai bentuk kimia khususnya kristalin (Nano Chrystaline Cellulose—NFC dan Nano Fibrillated Cellulose—NFC) untuk penghasilan pelbagai bahan nilai tambah mesra alam termasuk pembungkus makanan. Penambahan NFC ke dalam kayu akan meningkatkan nilai kekuatan dan ketahanan yang berlipat ganda bagi membolehkan ia digunakan dalam penghasilan pelbagai produk yang selalu didominasi oleh plastik dan logam;

viii. Penghasilan tanin daripada sisa industri arang kayu bakau sebagai alternatif kepada bahan komersial yang diimpot untuk formulasi drilling mud di dalam industri minyak dan gas. Tanin berfungsi sebagai bahan pemerai (deflocculant) dan dalam pengawalan kehilangan cecair (fluid loss control); dan

ix. Penghasilan cuka kayu (wood vinegar) daripada proses pembakaran biomass kayu bakau untuk digunakan sebagai racun serangga mesra alam dalam industri pertanian dan perhutanan.  

Selain biomass kayu bakau, biomass dari industri perkayuan juga boleh digunakan untuk penghasilan cuka kayu.

Kajian-kajian R&D di atas adalah dalam peringkat yang berbeza dengan penglibatan pelbagai pihak industri dan Majlis Perbandaran.

Sekian, terima kasih.

Attachments