Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

238

Soalan

Tuan M. Kulasegaran [ Ipoh Barat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah polisi-polisi dan prosedur-prosedur yang diambil oleh Kementerian berhubungan dengan melindungi biodiversiti dan juga penyimpanan karbon berkaitan dengan hutan primer. Apakah tindak balas Kementerian dalam mengetahui bahawa kini Malaysia berada dalam kedudukan 12 di seluruh dunia dalam isu kemusnahan hutan-hutan dan secara spesifiknya dari tahun 2000 sehingga tahun 2012.

Jawapan

​Tuan Yang di- Pertua,

Kementerian amat komited dalam memelihara dan memulihara alam sekitar khususnya dalam pemeliharaan biodiversiti bagi menjamin keseimbangan ekosistem. Bagi tujuan ini, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2016-2025 telah digubal untuk menyediakan hala tuju dan rangka kerja bagi memelihara biodiversiti dan menggunakannya secara mampan dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks. Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) memberi penekanan kepentingan kelangsungan konservasi, penggunaan sumber yang konsisten serta perkongsian faedah kepelbagaian biologi.

Bagi melindungi biodiversiti hutan untuk membolehkan hutan memainkan peranan antara lainnya sebagai penyimpan stok karbon untuk mitigasi perubahan iklim, di bawah Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe11), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah menerima peruntukan sebanyak RM119.2 juta untuk memelihara dan memulihara Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang terosot di bawah Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia, Pengurusan dan Pembangunan Central Forest Spine (CFS) dan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai. Program-program ini turut melibatkan penyertaan daripada masyarakat setempat, pelajar, badan bukan kerajaan (NGO's) dan pihak swasta di dalam program penanaman pokok. Bagi kawasan hutan pengeluaran di dalam HSK, aktiviti pemulihan hutan iaitu tanaman mengaya telah dijalankan. Sehingga kini, seluas 12,221 hektar kawasan HSK telah dijalankan rawatan tanaman mengaya.

Bagi mengelakkan kepupusan spesies flora dan fauna, pelbagai tindakan telah diambil termasuk usaha pemeliharaan dan pemuliharaan spesies endemik, spesies dipterokarpa terancam Critically Endangered (CR) yang berada dalam Hutan Simpanan Kekal dan tersenarai dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Threatened Species secara in-situ dan ex-situ melalui penubuhan High Conservation Value Forests (HCVF's), penubuhan arboretum spesies pokok hutan yang terpilih. Bagi spesies dipterokarpa terancam yang berada di luar HSK, Majlis Biodiversiti Negara Ke-3 pada 9 Ogos 2016 telah memutuskan supaya Kerajaan-kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia memelihara dan memulihara 10 spesies dipterokarpa yang dikategorikan Sangat Terancam dalam Hutan Tanah Kerajaan dan pewartaan kawasan terlibat sebagai Tapak Perlindungan, Tapak Warisan atau HSK.

Bagi mengawal kemusnahan hutan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab, Kementerian melalui JPSM telah mengambil pelbagai tindakan bagi meningkatkan aktiviti penguatkuasaan melalui pelaksanaan program penguatkuasaan bersepadu, Inisiatif Strategi Lautan Biru (NBOS) serta memperkukuh aktiviti perisikan. Selain itu, pada masa ini Kementerian juga sedang dalam proses meminda Akta Perhutanan Negara 1984 bagi mengetatkan lagi penguatkuasaan melalui peningkatan kadar penalti dan tempoh hukuman. Selain itu, inisiatif bagi mengawal penyahutanan juga telah diambil dengan kerjasama kerajaan negeri melalui pengekalan pewartaan kawasan HSK sedia ada untuk diurus melalui amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, mewartakan kawasan Cadangan HSK yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai HSK, Mewartakan kawasan-kawasan Tanah Kerajaan yang berhutan sebagai HSK dan menggantikan mana-mana kawasan HSK yang telah dikeluarkan atau dimansuhkan dengan kawasan hutan lain yang lebih kurang sama keluasannya.

Melalui program-program yang telah dilaksanakan ini, kawasan berhutan negara dapat dikekalkan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro pada tahun 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan.

Sekian, terima kasih.

Attachments