Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

4

Soalan

Tuan M. Kulasegaran [ Ipoh Barat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan di bawah Perjanjian Iklim Paris (Paris Climate Agreement), terdapat suatu perjanjian global yang menyatakan untuk mengekalkan suhu daripada meningkat sebanyak 2 darjah celcius. Apakah tindak balas Kerajaan Malaysia kepada perjanjian tersebut daripada aspek kerjasama global.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Antara hasil utama Persidangan Ke-21 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) adalah Paris Agreement yang telah dipersetujui pada 12 Disember 2015. Malaysia telah menandatangani Paris Agreement pada 22 April 2016 dan meratifikasikan perjanjian ini pada 16 November 2016.
Antara tindakan susulan Paris Agreement yang perlu dilaksanakan oleh semua negara Parti kepada perjanjian tersebut adalah menyediakan dan mengemukakan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gases – GHG) yang dikenali sebagai 

Nationally Determined Contributions (NDC) setiap 5 tahun sekali. NDC merupakan sumbangan sesebuah negara kepada usaha global untuk menangani impak perubahan iklim bagi tempoh pasca-2020 di bawah Paris Agreement. Malaysia telah mengemukakan Intended NDC (INDC) kepada UNFCCC pada 27 November 2015.
Menurut INDC tersebut, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebanyak 45% berbanding intensiti pelepasan pada tahun 2005 menjelang tahun 2030. Daripada keseluruhan sasaran pengurangan ini, 35% akan dilaksanakan tanpa syarat (unconditional) manakala baki 10% lagi adalah bersyarat (conditional) dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan
​kewangan, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.

Sekian, terima kasih.

Attachments