Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

19 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

18

Soalan

Dr. Tan Seng Giaw [ Kepong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah masalah berkaitan dengan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan. Adakah kawalan hutan dapat ditambah baik termasuk kerjasama dengan Kerajaan negeri.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia adalah selaras dengan objektif Dasar Perhutanan Negara (DPN) 1978 (Pindaan 1993) yang mengandungi dua (2) objektif utama iaitu:

(i) memelihara dan mengurus hutan negara berdasarkan prinsip-prinsip pengurusan secara berkekalan; dan

(ii) melindungi alam sekitar dan memelihara kepelbagaian hayat, sumber-sumber genetik serta meningkatkan penyelidikan dan pendidikan.

Selaras dengan itu, kawasan hutan terutamanya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) diurus di bawah prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) yang memberi penekanan seimbang terhadap keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Pelaksanaan ini menjadikan pengurusan hutan dikawal dengan baik berdasarkan prinsip berkekalan itu sendiri. Salah satu kriteria utama dalam Pengurusan Hutan Secara Berbekalan ialah pengawalan terhadap pembukaan kawasan hutan untuk pengusahasilan melalui pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diluluskan dan dipantau oleh Majlis Tanah Negara (MTN). Penetapan Catuan Tebangan Tahunan adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semulajadi (natural regeneration capacity) kawasan yang diusahasil.

Dalam melaksanakan Pengurusan Hutan Secara Berbekalan ini, terdapat isu berbangkit diantaranya pengambilan kawasan hutan atau pewartaan keluar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tujuan projek-projek pembangunan negara demi kesejahteraan masyarakat. Bagi mengatasi masalah ini, pihak kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan kerjasama daripada semua kerajaan negeri melalui platform MTN di mana pihak kerajaan negeri diminta seboleh-bolehnya mengawal pewartaan keluar HSK.
Secara umumnya, Pengurusan Hutan Secara Berkekalan ini akan terus menjadi tunjang dalam amalan pengurusan hutan di Malaysia, khususnya di Semenanjung Malaysia dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.

Sekian, terima kasih.


Attachments