Tuan Yang di-Pertua,
Ban Sungai Kobat telah dibina dalam projek Empangan Kobat (Kobat Barrage) pada awal tahun 80-an oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang bagi tujuan bekalan air minuman kepada penduduk Daerah Kuantan. Ban yang dibina tersebut adalah di atas alur asal Sungai Kuantan dengan tujuan untuk melencongkan aliran Sungai Kuantan melalui empangan tersebut. Operasi dan selenggara empangan tersebut adalah di bawah Perbadanan Air Pahang Berhad setelah Jabatan Bekalan Air diperbadankan.
Ban tanah tersebut telah berusia lebih 30 tahun. Oleh yang demikian, berlakunya kelemahan struktur tanah akibat kesan banjir yang telah beberapa kali dialami dan limpahan air di atasnya menyebabkan ban tersebut pecah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan kerja-kerja pembaikian ban yang pecah atas tanggungjawab terhadap sungai berkenaan bagi memastikan sumber air untuk bekalan air mencukupi. Kerja-kerja pembaikian ban tersebut telah siap dilaksanakan pada 14 Februari 2018 oleh JPS Pahang melalui peruntukan kerja-kerja darurat.
Sekian, terima kasih.