Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

15 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

22

Soalan


Tuan Teo Kok Seong [ Rasah ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan :-
a) mengapakah Kerajaan masih membenarkan pusat memproses sisa berjadual, Pusat Kualiti Alam terus beroperasi walaupun ia akan menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk; dan
b) statistik pemantauan dan pemeriksaan yang telah dijalankan terhadap kualiti alam sejak tahun 2013 - tahun 2018.


Jawapan

Tuan Yang di- Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kualiti Alam Sdn. Bhd. (KASB) di Bukit Nenas, Sendayan, Negeri Sembilan merupakan sebuah Pusat Pengurusan Sisa Buangan Terjadual Bersepadu yang dilengkapi dengan Loji Rawatan Fizikal dan Kimia, Loji Stabilisasi, Loji Penunuan (Insinerator), Loji Rawatan Leachate, loji-loji rawatan sokongan dan Tapak Pelupusan Selamat sebagai destinasi terakhir untuk buangan terjadual yang telah dirawat (kod buangan terjadual SW501). KASB telah diberikan hak eksklusif untuk melaksanakan dan mengendalikan kemudahan bersepadu ini selama 15 tahun bermula pada 1 Mac 2000 sehingga 28 Februari 2015.

Merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Awam Swasta (JTAS) Bil 5/2014 yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dr KSN pada 4 Julai 2014 telah bersetuju dengan syor Jabatan Alam Sekitar untuk tidak meneruskan hak eksklusif KASB selepas Februari 2015.
Walaubagaimanapun, perkhidmatan/operasi KASB masih diteruskan bagi memastikan pengurusan buangan terjadual yang dihasilkan oleh pihak industri di negara ini dapat dikendalikan dengan sempurna dan selamat dan tidak mendatangkan implikasi kepada alam sekitar dan kesihatan awam. Pengoperasian premis Kualiti Alam Sdn Bhd sepanjang 15 tahun telah menunjukkan prestasi pematuhan yang baik di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

Mengenai KASB sering diadu mengenai kesan pencemaran dari operasi premis oleh masyarakat sekeliling, siasatan Jabatan mendapati aduan-aduan tersebut adalah tidak berasas yang tidak dapat dikaitkan dengan operasi KASB tetapi lebih pada persepsi penduduk. Pembangunan gunatanah sekeliling juga telah menyebabkan kawasan kediaman lebih menghampiri kawasan operasi KASB.

JAS sentiasa memantau pematuhan KASB kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan orang awam terpelihara melalui pemeriksaan di lapangan yang dilakukan secara berkala dan pemeriksaan secara harian melalui desktop enforcement dengan menyemak Electronic Scheduled Waste Information System (eSWIS) dan Continuous Emission Monitoring System (CEMS). Semakan status pematuhan keseluruhan premis dari tahun 2013 hingga 2017, daripada 59 lawatan penguatkuasaan yang dijalankan mendapati hanya 2 kali ketidakpatuhan dilakukan oleh premis.

Sekian, terima kasih


Attachments