Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

14 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

4

Soalan

Dr. Che Rosli Bin Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan kawalan Kementerian dalam memastikan bukit-bukau di Malaysia sebagai pasak bumi ini dijaga dan tidak mudah diterokai bagi menjamin kestabilan cuaca dan kelangsungan kehidupan flora dan fauna.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengamalkan pengurusan hutan secara berkekalan bagi memenuhi keperluan yang dikehendaki di dalam Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification (MC&I). Di dalam MC&I, sebarang pembangunan dan pembalakan di kawasan yang melebihi 1000 meter adalah tidak dibenarkan.

Manakala antara aktiviti yang tertakluk kepada penyediaan Laporan EIA ialah pengubahan kawasan hutan melebihi 20 ha kepada kawasan pertanian, pembalakan melebihi 100 ha, pembangunan kawsa pantai dan bukit serta pembangunan kawasan cerun. Aktiviti- aktiviti di atas merupakan aktiviti yang ditetapkan di bawah perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015.

Selain itu juga, Jabatan Alam Sekitar juga telah mengeluarkan GarisPanduan Pembangunan di kawasan cerun dan bukit yang telah dilancarkan pada 8 November 2017 untuk memastikan pembangunan yang melibatkan kawasan cerun dan bukit mematuhi semua kehendak alam sekitar dan memastikan impak pembangunan diminimumkan.

Antara inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh JPSM dalam memastikan kawalan terhadap Hutan Simpan Kekal (HSK) adalah seperti berikut:

i. Program Penguatkuasaan Bersepadu

a. Penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JET);

b. Pasukan penguatkuasaan perhutanan di negeri-negeri telah disediakan kemudahan logistik yang rugged seperti motosikal lasak dan penggunaan senjata api; dan

c. Program kawalan menyeluruh di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) terutamanya bagi kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi (hotspot) bertujuan membanteras aktiviti pencerobohan dan pembalakan haram di Hutan Simpanan Kekal.

ii. Memperkukuhkan Program Penguatkuasaan melalui Inisiatif Strategi Lautan Biru (NBOS)

a. Program 1Malaysia Biodiversity Enforcement Network (1MBEON) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM);

b. Program Centralized Enforcement Team (CET) yang menggabungkan semua agensi di bawah NRE secara bersepadu untuk aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan; dan

c. Operasi bersepadu bersama Polis DiRaja Malaysia di bawah Operasi Khazanah Negara.

iii. Memperkukuh Aktiviti Perisikan

a. Penubuhan Unit Perisikan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi membantu tindakan penguatkuasaan yang tepat dan pantas;

b. Penggunaan teknologi terkini melalui aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5) bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan. Sistem ini disokong dengan penggunaan dron yang memberi gambaran kawasan secara real time; Geographical Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS); dan

c. Kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui Pasukan Sukarelawan Renjer Hutan APM yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sekian, terima kasih.

Attachments