Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

19

Soalan

SOALAN: Dato' Ir. Nawawi Bin Ahmad [ Langkawi ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah ada perancangan Kementerian untuk menyelenggara Pulau Payar dan ditutup pada jangka tempoh tertentu agar kebersihan dan keindahan Pulau Payar tersebut dijaga. Buat masa ini pelancong boleh pergi pada bila-bila masa dan akan menyebabkan pencemaran kepada ekosistem di Pulau Payar tersebut.

Jawapan

​​​

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sentiasa perihatin terhadap isu pemuliharaan biodiversiti marin terutamanya perairan yang telah diwartakan sebagai taman laut. Hasil usaha Kementerian telah menjadikan pulau yang mana perairanya diwartakan sebagai taman laut destinasi pelancongan yang penting di negara kita. Salah satu taman laut yang sering dikunjungi oleh pelancong antarabangsa adalah Taman Laut Pulau Payar, Kedah. 72% pelancong ke Pulau ini adalah pelancong antarabangsa. Kedatangan pelancong ke taman laut negara kita memberi faedah dari segi pembangunan ekonomi negara dan penduduk setempat. Berdasarkan kajian pada tahun 2011, jumlah sumbangan ekonomi Taman Laut Pulau Payar adalah RM 174 juta setahun. Sumbangan Taman Laut Pulau Payar dari segi limpahan sumber perikanan dianggarkan bernilai RM 123 juta setahun. Pemantauan oleh Jabatan Taman Laut Malaysia juga menunjukkan bahawa kepadatan populasi ikan di Taman Laut Pulau Payar juga merupakan antara yang tertinggi berbanding Taman Laut yang lain. Perairan Taman Laut Pulau Payar juga merupakan kawasan persinggahan spesies marin bermigrasi seperti yu paus yang ikan marlin. Nilai estetik yang menjadi daya tarikan pelancong pula bernilai RM 50 juta setahun.

Oleh yang demikian, sumber biodiversiti marin yang terdapat di pulau ini perlu dipelihara melalui kawalan aktiviti pelancongan untuk memastikan kelangsungan biodiversiti yang menjadi punca pendapatan kepada operator pelancongan di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah serta Pulau Pinang. Isu lain yang perlu diberi perhatian sewajarnya adalah kedamparan sampah yang hanyut dari kawasan yang lain terutamanya semasa Monsoon Barat Daya pada bulan April hingga September. Kementerian saya melalui Jabatan Taman Laut Malaysia menyediakan peruntukan bagi menangani isu ini. Namun, untuk jangka masa panjang isu sampah laut perlu ditangani secara holistik kerana ia melibatkan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan. Pemerhatian Jabatan Taman Laut Malaysia juga mendapati terdapat sampah yang hanyut daripada negara jiran. Selain itu, kemudahan asas untuk menyokong aktiviti ekopelancongan juga perlu disediakan dan dinaiktaraf. Kementerian saya dan Lembaga Pembangunan Langkawi di bawah Kementerian Kewangan memandang berat isu penyediaan kemudahan untuk mengurangkan impak aktiviti ekopelancongan serta kemudahan untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung ke Taman Laut Pulau Payar, Kedah. Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2015 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 20.9 juta kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di bawah Inisiatif Blueprint Pelancongan Langkawi untuk Naik Taraf Kemudahan Pelancongan dan Penggantian Bot Dan Pemerkasaan Konservasi Biodiversiti Marin Taman Laut Pulau Payar, Kedah. Projek ini dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap November 2018.

Pada tahun 2018, skop naik taraf adalah melibatkan Pusat Taman Laut Pulau Payar dan Jeti Pengurusan Taman Laut. Oleh yang demikian, pantai di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Payar ditutup agar kerja-kerja naik taraf tidak mengganggu keselesaan pelancong. Kawasan riadah pelancong-pelancong telah dialihkan ke Pantai Damai, iaitu pantai bersebelahan dengan Pusat Taman Laut Pulau Payar. Kedua-dua pantai ini akan dibuka semula kepada para pelancong sebaik sahaja kerja-kerja naik taraf selesai. Selain kerja naik taraf fizikal, Kementerian saya juga melaksanakan pemantauan berkala kualiti air marin dan tahap kesihatan terumbu karang di taman laut. Jabatan Taman Laut di bawah Kementerian saya telah memasang stesen tetap pemantauan kualiti air marin yang mana parameter fizikal seperti suhu, pH, Oksigen terlarut, dan saliniti dipantau secara harian. Sebarang perubahan kepada persekitaran yang boleh menjejaskan kesihatan terumbu karang boleh dikesan serta merta dan tindakan remediasi boleh diambil. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar buat masa ini tiada perancangan untuk menutup Taman Laut Pulau Payar untuk tempoh tertentu dalam setahun. Ini adalah kerana, sampah dan sisa makanan dikeluarkan daripada pulau tersebut pada setiap hari. Bagi memastikan kebersihan dan keindahan Taman Laut Pulau Payar, Jabatan Taman Laut Malaysia juga menggunakan perkhidmatan kontraktor pembersihan yang membersihkan kumudahan awam di Pusat Taman Laut Pulau Payar pada
setiap hari. Selain itu, Kementerian saya juga akan membuat penyelenggaraan terhadap sistem kumbahan Pusat Taman Laut Pulau Payar agar tidak berlaku pemcemaran persekitaran marin pulau tersebut dan menjejaskan kesihatan pelancong ke Pulau tersebut. Langkah-langkah ini boleh meminimakan risiko pencemaran akibat industri pelancongan. 

Sekian terima kasih.


Attachments